Thursday, August 18, 2011

Syahadatul Haq – penyaksian terhadap kebenaran.



Pendahuluan

Syahadah Al-Haq atau Pengakuan Sebenar Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah adalah suatu seruan yang dikemukakan oleh Sayyid Abu al-A’la al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini beliau menjelaskan kepada masyarakat tentang dakwah Islamiyyah. Di samping turut menampilkan pendekatan yang digunakannya bagi mengetengahkan keistimewaan dakwah ini dan membawa manusia berkongsi bersama segala keindahannya.
Dakwah ini dilakukan semata-mata kerana Allah dan rasulNya. Dakwah ini merupakan suatu risalah yang sesuai dengan keadaan dan persekitaran manusia. Dengan memahami hakikat ini mudah-mudahan manusia memahami tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu mereka. Justeru terdorong untuk bekerja dengan lebih bersemangat dan produktif. Mudah-mudahan Islam mereka bukan lagi bersifat teori tanpa praktikal.
“Syahadah Al-Haq” bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Dengan kata lain mereka perlu menjelaskan ke seluruh alam, kebenaran yang bakal memimpin mereka menggunakan jalan yang lurus, cara yang betul dan amalan yang berkekalan. Manusia akan diberikan balasan berdasarkan amalan mereka. Mereka juga akan dihukum berdasarkan kejahatan dan amalan keji yang dilakukan mereka.
Dar al-Su’udiyyah Li al-Nasyr Wa al-Tauzi’ amat berbesar hati kerana dapat memberi sumbangan dalam memperkayakan khazanah Islam melalui penerbitan buku ini. Semoga buku ini akan menjadi penyuluh menerangi jalan umat Islam. Semoga dengan adanya buku ini segala kejahatan dan kesesatan akan lenyap. Segala-galanya ini hanyalah kerana Allah.

Penerbit
Dar al-Su’udiyyah Li al-Nasyr Wa al-Tauzi’



Syahadah Al-Haq

(Ucapan ini disampaikan oleh al-Maududi, Pemimpin Jama’ah Islam, di dalam suatu majlis yang diadakan di Bandar Sayyal Kaut, salah sebuah bandar di Barat wilayah Punjab . Melalui ucapan ini al-Maududi menjelaskan erti dakwah Islamiyyah. Di samping menjelaskan kepada sidang hadirin pendekatan secara teori dan praktikal yang digunakan oleh Jama‘ah Islam.)

Segala puji bagi Allah yang memiliki segala sifat-sifat sebagai pencipta dan pemerintah di alam semesta ini. Tuhan yang segala hukumnya terlaksana di langit dan di bumi. Semuanya terlaksana melalui kebijaksanaan dan qudratNya yang merangkumi sekalian yang ada, dengan rahmat dan ilmuNya. Dialah Allah yang Maha Pencipta, Maha Esa dan Maha Tinggi yang mencipta manusia dan mengurniakan mereka segala kelebihan ilmu dan akal. Dialah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Dialah yang mengutus para utusan dari sisiNya bagi membimbing dan memimpin manusia ke arah jalan yang baik dan terpimpin. Dialah yang menurunkan kitab-kitab yang mengandungi hidayah, cahaya dan bimbingan untuk manusia yang bertakwa.
Selawat dan salam dihadiahkan kepada hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih yang diutus sebagai pembawa berita gembira dan bencana. Mereka diutus sebagai penunjuk jalan bagi manusia, menerangi jalan yang lurus dan menunjukkan jalan yang sejahtera dan adil bagi bangsa manusia. Mereka mengajar manusia tujuan mereka dicipta oleh Allah. Mereka mengajar manusia cara hidup yang baik dan betul di dunia ini. Segala cahaya hidayah dan akhlak baik yang anda lihat pada hari ini di muka bumi ini sebenarnya adalah hasil usaha mereka. Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah yang telah mengutus para utusanNya kepada kita, jika tidak kerana usaha mereka yang berterusan dan berharga dalam mengembangkan dakwah dan hidayah ini, sudah tentu pada hari ini tidak wujud cahaya hidayah dan kerdipan bintang yang bersinar dan bergemerlapan di dada langit. Oleh itu, seluruh manusia terhutang budi dengan pengorbanan, kurniaan dan jasa mereka yang tidak terbayar walau betapa banyak balasan yang diberikan selama-lamanya.
Saudara! Sudah menjadi sebahagian daripada amalan kami untuk membahagikan setiap majlis dan perhimpunan kami kepada dua bentuk. Pertama, kami sebagai anggota Jama‘ah Islamiyyah bermuzakarah dengan membentangkan segala kerja dan usaha yang telah kami lakukan. Kami berbincang tentang strategi dan langkah yang perlu kami ambil untuk mengembangkan dakwah. Kedua, kami jemput penduduk setempat di mana kami adakan perhimpunan. Melalui perhimpunan ini kami akan jelaskan kepada penduduk setempat tentang dakwah Islamiyyah. Kami juga akan jelaskan kepada mereka pendekatan yang kami pilih dan kami guna dalam usaha kami untuk menyebar dan mengembangkan keistimewaan dan kelebihan dakwah yang abadi ini.
Majlis yang tuan-tuan hadiri melalui jemputan anggota jama‘ah ini merupakan bentuk kedua yang saya sebutkan tadi. Jadi sekarang ini kami ingin jelaskan kepada hadirin sekalian tentang dakwah yang kami laungkan kepada seluruh manusia, semoga semuanya beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dakwah kami ini ditujukan kepada semua, baik buat mereka yang telah beriman dengan Allah dan rasulNya, juga buat mereka yang masih belum berpeluang untuk beriman. Kami tujukan dakwah ini kepada mereka semua semata-mata kerana Allah dan rasulNya. Kami tujukan risalah yang khusus untuk apa jua keadaan dan situasi mereka. Malangnya dalam majlis yang berbahagia ini tidak kelihatan golongan kedua yang saya nyatakan tadi. Semua ini disebabkan oleh kepincangan dasar yang telah diamalkan oleh raja dan pemerintah kita di dalam tempoh lapan kurun yang silam dalam menjalinkan hubungan dengan penduduk negeri ini. Mereka tidak melaksanakan dengan baik undang-undang Islam dalam konteks hubungan antara kaum. Mereka juga tidak memberikan layanan sepertimana sepatutnya diberikan oleh seorang pendakwah dan penakluk kepada seorang ahli zimmi. Tidak sepertimana layanan yang pernah diberikan oleh generasi Arab dahulu kepada orang-orang bukan Islam di Iraq, Syam dan sebagainya yang tunduk di bawah kuasa mereka. Malah kita sendiri tidak boleh nafikan bahawa kita turut terlibat, kerana kita sendiri melayan mereka seolah-olah mereka adalah bangsa asing yang berbeza sama sekali dari segi darah, bahasa dan budaya. Tidak hairan jika Islam pada pandangan mereka adalah agama yang khusus untuk satu bangsa atau satu keturunan bukan satu agama untuk seluruh manusia. Kesannya, sebilangan besar hamba-hamba Allah terpinggir daripada dakwah yang benar ini. Mereka juga tidak bersedia untuk mendengar sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan kepada mereka tentang risalah abadi yang telah didatangkan oleh Allah yang merupakan tuhan kita, tuhan mereka dan tuhan bagi segala-galanya. Mereka tidak bersedia mendengar risalah para rasul dan para nabi yang datang untuk membimbing kita dan juga mereka, menuju ke arah kejayaan dan kebahagiaan. Oleh itu saya berhasrat dalam ucapan saya ini saya akan tumpukan kepada beberapa aspek dakwah ini yang penting untuk dihayati oleh umat Islam.

Dakwah yang kita tujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka apabila mereka mendakwa mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat, dan apabila mereka mengaku akur dengan segala perintah Allah dan rasulNya. Tidak mungkin mereka boleh berpeluk tubuh daripada memikul tanggungjawab ini dengan hanya mengaku beriman atau mendakwa diri mereka sebagai muslim. Hanya bergantung kepada pengakuan dan cakap kosong dalam hal ini tidak cukup. Sebenarnya apabila kamu mengakui Allah sebagai tuhan dan Islam sebagai agama kemudian kamu lafazkan syahadah yang sebenar (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah), kamu sepatutnya merasai tanggungjawab yang perlu kamu laksanakan sebaik sahaja kamu melafazkan syahadah ini. Kamu juga perlu fikirkan apakah yang dapat kamu lakukan untuk menunaikan tugas penting ini. Jika kamu tidak laksanakan kewajipan kamu ini atau kamu tidak berusaha untuk melaksanakannya kamu sebenarnya menempah akibat buruk perbuatan kamu dan kamu akan rugi di dunia dan di akhirat.

Mungkin ada yang tertanya-tanya: Apakah tanggungjawab yang anda katakan boleh membawa akibat buruk jika diabaikan ini?
Suatu yang perlu anda sentiasa ingat ialah tanggungjawab besar ini tidak akan terlaksana dengan hanya kamu beriman dengan Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari akhirat. Tanggungjawab ini juga tidak tertunai dengan hanya kamu melaksanakan sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Malahan ia tidak cukup sekadar anda melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan peribadi seperti perkahwinan, cerai atau pusaka kemudian anda boleh berpeluk tubuh tanpa menitiskan walau setitik peluh dan kamu tidur lena. Tidak, bukan demikian saudara. Ada satu tanggungjawab yang jauh lebih besar dan lebih penting daripada semua itu. Sedarlah saudara. Tanggungjawab ini ialah kamu melaksanakan di hadapan seluruh alam ini segala hak Syahadah Al-Haq (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah) yang kamu imani dan kamu akui sebagai agama kamu.

Kitab suci yang mulia telah mengingatkan kamu bahawa Allah Taala yang memiliki nama-nama yang suci telah meletakkan kamu sebagai satu ummah perantara. Malah Allah memilih kamu bukan umat-umat yang lain supaya kamu melaksanakan segala hak syahadah ini. Hak syahadah ini perlu dilaksanakan dengan cara kamu menyampaikan kalimah hak ini ke seluruh bangsa manusia, melalui amalan soleh yang kamu lakukan, melalui akhlak terpuji yang kamu miliki serta melalui pemerintahan kamu yang adil dan betul supaya pada hari di mana segala saksi bangkit menyatakan penyaksian mereka, semua manusia tunduk di bawah hujah Allah dan mereka tidak dapat menafikan bahawa dakwah para nabi dan kalimah hak ini telah sampai ke gegendang telinga mereka. Allah Taala berfirman:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Al-Baqarah: 143)
Kamu sendiri pun tahu apakah hukuman Allah buat mereka yang menyembunyikan syahadah ini ketika di dunia. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada akibat buruk yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Allah Taala sendiri berfirman:

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? (Al-Baqarah: 140)
Lihatlah kaum Yahudi yang telah dianugerahkan takhta syahadah ini sebelum kamu. Malangnya ada kala mereka menyembunyikan syahadah ini dan ada kalanya mereka mengakui kebenaran syahadah ini, menurut kemahuan mereka yang berniat jahat. Malahan mereka tenggelam dalam kezaliman. Akhirnya segala amalan dan syahadah mereka digunakan bagi menegakkan kepalsuan dan menidakkan kebenaran. Justeru itu mereka layak menerima laknat selama-lamanya. Oleh itu mereka ditimpa kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka menerima kemurkaan Allah sebagaimana dinyatakan sendiri oleh wahyu Allah.

Maksud syahadah (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah) yang diletakkan ke bahu kamu selepas ketiadaan Nabi Muhammad s.a.w. ini ialah kamu menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang nyata ini dan kamu bimbing mereka untuk melalui satu-satunya jalan yang menghubungkan mereka ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kamu tunjukkan kepada mereka pendekatan sebenar yang telah ditunjukkan oleh Allah, kamu tunjukkan segala petunjuk dan arahtujunya yang merupakan satu-satunya pendekatan yang betul dan diredai oleh Allah. Satu-satunya pendekatan yang akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia.

Jadi maksud sebenar di sebalik syahadah (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah) yang perlu kamu paparkan kepada seluruh manusia ialah kamu buktikan bahawa kebenaran yang jelas nyata dan pendekatan yang sahih ini adalah benar dan terbukti kukuh sehingga ia boleh menjadi hujah untuk Allah menghukum hamba-hambaNya. Suatu perkara yang jelas nyata ialah para nabi dan para rasul hanya diutus untuk menyampaikan syahadah ini. Sudah tentu tanggungjawab ini menjadi kewajipan mereka. Setelah itu, selepas ketiadaan mereka tanggungjawab ini diwajibkan pula kepada orang-orang yang mengimani dan akur dengan risalah dan perintah mereka. Pada hari ini tanggungjawab syahadah dipikul pula oleh seluruh umat Islam yang beriman dengan risalah Muhammad s.a.w.. Tanggungjawab ini kini menjadi tanggungjawab mereka semua yang suatu ketika dahulu ia menjadi kewajipan pembawa risalah ini, Nabi Muhammad s.a.w. ketika hayatnya.
Saudara-saudara sudah pasti memahami betapa penting dan besarnya peranan syahadah ini. Segala undang-undang yang Allah gubal dan berkaitan dengan balasan dan hukuman kepada amalan dan kesalahan manusia sebenarnya berlandaskan dan berteraskan kepada syahadah ini. Sudah tentu Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih akan melaksanakan segala sesuatu dengan adil. Sudah tentu dengan kebijaksanaan, rahmat dan adilNya, Allah tidak akan menghukum manusia apabila mereka tergelincir daripada landasan hidup sebenar sedangkan mereka tidak pernah mengetahui jalan yang boleh memimpin mereka ke arah kebaikan atau jalan yang menyelamatkan mereka daripada dosa, sedangkan mereka tidak mengetahui jalan sebenar yang dapat mengangkat martabat mereka ke arah insan yang sempurna. Tidak mungkin ini akan dilakukan oleh tuhan yang Maha Mulia, tuhan yang menyifatkan dirinya sendiri sebagai pengasih, pengampun dan pemurah dalam banyak ayat yang disebutkan di dalam Kitab suci yang mulia. Tidak mungkin ini akan dilakukan oleh tuhan yang memiliki segala sifat pengasih dan pengampun, malah turut memuji diriNya sendiri namun kemudian Dia menghukum hamba-hambaNya walaupun mereka tidak pernah diberitahu atau diberi amaran oleh para rasul atau para nabi atau para hamba-hambaNya yang soleh. Kerana itulah pada mulanya Allah mencipta seorang nabi yang mulia, kemudian Allah utuskan pula beberapa orang nabi membawa berita gembira dan bencana. Ini diikuti pula dengan pengutusan utusan demi utusan kepada generasi demi generasi. Kisah mereka ini ada yang diceritakan oleh Allah dan ada yang tidak diceritakan. Malah hanya Allah sahaja yang mengetahui jumlah mereka. Tujuan Allah mengutuskan para rasul ini adalah untuk mengajar bangsa manusia cara hidup sebenar yang diredai oleh Allah dalam mengharungi hidup di dunia ini. Para rasul ini memimpin manusia supaya mereka melalui jalan yang akan membawa mereka memperolehi keradaan Allah dan anugerahnya yang agung. Para rasul ini menjelaskan kepada manusia segala selok-belok hidup ini yang akan membawa mereka lebih dekat kepada Allah dan kepada rahmatNya serta menikmati segala limpah kurniaNya. Agar mereka mengingatkan manusia tentang amalan-amalan yang perlu mereka hindar dan akan menyebabkan mereka dihukum oleh Allah di akhirat kelak. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah di dalam KitabNya:

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Nisa’: 165)

Semua ini menjelaskan apa yang saya nyatakan tadi bahawa syahadah yang Allah perintahkan ini sebenarnya bertujuan mematahkan segala hujah manusia yang bakal digunakan di hadapan Allah kelak. Agar tiada ruang lagi untuk manusia membuat alasan selepas mereka menerima seruan para nabi. Tiada alasan untuk mereka berkata: Kami tidak pernah diberitahu tentang perkara ini. Jadi tidak ada sebab untuk kami dihukum kerana melakukan apa yang kami tidak tahu mana yang baik dan mana yang tidak, mana yang elok mana yang buruk.

Demikianlah Allah letakkan tanggungjawab ini kepada para rasul yang telah dipilih untuk menyampaikan risalahNya dan memastikan syahadah ini sampai kepada hamba-hambaNya. Jadi para rasul terpaksa berhadapan dengan segala tanggungjawab ini. Mereka menyebarkan risalah ini sebaik-baiknya dan mereka laksanakan segala tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan, kesabaran dan ketabahan tanpa mengenal erti penat lelah, dengan memberitahu bahawa seluruh manusia akan diberikan ganjaran berdasarkan amalan mereka dan akan diberikan hukuman berdasarkan kejahatan dan kelakuan buruk mereka.

Jika sebaliknya, iaitu jika para nabi ini tidak menjalankan tugas mereka, maka merekalah yang akan dihukum oleh Allah kerana kesesatan dan kejahatan manusia. Dengan kata lain, para rasul terpaksa berhadapan dengan dua pilihan. Sama ada mereka melaksanakan segala kewajipan syahadah ini dengan cara yang terbaik dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia. Atau kecuaian mereka akan dijadikan alasan oleh manusia di hadapan Allah kelak bahawa mereka tidak menyampaikan kalimah hak yang telah diamanahkan kepada mereka dan mereka tidak memimpin manusia sebangsa mereka menuju jalan hidup yang sebenar yang telah dinyatakan oleh kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka. Kita dapat lihat sendiri betapa para nabi amat merasai betapa beratnya amanah ini. Oleh itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dan menyampaikan risalah mereka. Mereka habiskan segala tenaga mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia biasa. Akhirnya mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia tanpa memberi ruang kepada manusia zalim dan takbur yang enggan menerima dakwah dan menentang ayat-ayat Allah serta hari akhirat, untuk mereka memberi alasan di hadapan Allah yang Maha Kuasa di hari akhirat kelak di hari di mana Allah katakan kepada mereka:

Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya. (Al-Saffaat: 21)
Seterusnya, orang-orang yang menerima dakwah melalui para utusan Allah ini, orang-orang yang memahami jalan yang benar seperti yang diajar oleh para nabi a.s., Allah pilih pula mereka untuk mewarisi tanggungjawab ini (tanggungjawab syahadah ini) dan mengambil alih peranan para nabi bagi memikul tanggungjawab ini. Mereka ini akan bertanggungjawab di hadapan Allah dan di hadapan manusia di bumiNya. Apabila mereka melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dengan bersungguh-sungguh mereka akan menerima ganjaran daripada Allah, tidak kira sama ada manusia menerima atau menolak dakwah mereka. Allah akan memberi ganjaran kepada manusia berdasarkan kebaikan yang telah mereka amalkan dan Allah akan hukum mereka berdasarkan kejahatan dan amalan buruk mereka. Namun jika mereka cuai dalam melaksanakan tanggungjawab ini atau bertindak zalim dengan memutar belitkan kebenaran sehingga yang benar menjadi palsu dan palsu menjadi benar, nescaya Allah akan menghukum mereka terlebih dahulu daripada orang lain kerana kecuaian dan pendustaan mereka. Allah bukan sahaja akan hukum mereka kerana apa yang mereka lakukan malah Allah akan hukum mereka kerana apa yang dilakukan oleh orang lain yang sesat akibat kecuaian mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka atau akibat tindakan mereka yang mengubah jalan yang benar melalui syahadah dusta mereka.

Sidang hadirin sekalian, inilah dia tanggungjawab syahadah yang telah diwajibkan kepada kita semua, kepada orang-orang yang mengaku sebagai ummah Islam, orang-orang yang memiliki Kitab Allah dan orang-orang yang menerima hidayah melalui perantaraan para nabi dan nabi yang terakhir, nabi yang buta huruf dan berbangsa Arab.

Pembahagian Syahadah

Kini marilah kita bersama-sama melihat apakah jalan yang sebenar bagi melaksanakan tanggungjawab syahadah ini? Saudara, syahadah ini wujud dalam dua bentuk iaitu dalam bentuk perkataan dan perbuatan.

Syahadah Perkataan

Syahadah dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi dan para rasul. Kita jelaskan kepada mereka menggunakan lisan dan pena atau apa sahaja cara dakwah dan sebaran menggunakan media cetak atau radio atau apa sahaja ciptaan manusia di kurun ke dua puluh ini yang boleh kita manfaatkan. Kita boleh gunakan segala cara ini dengan bantuan segala ilmu, teknik dan teori yang lama dan moden yang telah dihasilkan melalui kajian dan analisa manusia. Setelah itu kita kemukakan dakwah ini kepada seluruh manusia. Kita perkenalkan agama yang telah Allah pilih sebagai agama (cara hidup yang lengkap) untuk seluruh manusia. Kita huraikan kepada seluruh manusia tentang ajaran agama yang benar ini. Kita bentangkan kepada mereka tentang ajaran dan pedoman agama ini dengan tujuan mengajar manusia seluruh sistem hidup ini yang terdiri daripada akidah, prinsip, akhlak, tamadun, kehidupan bermasyarakat termasuk semua undang-undang dan langkah-langkah berbentuk amali dalam aspek ekonomi, urusniaga, kehakiman, undang-undang dalam negeri, dasar am, pentadbiran dan semua perkara yang membabitkan masalah yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupan mereka. Kita bentangkan semua perkara ini dengan disokong oleh hujah dan bukti. Kita buktikan bahawa semua ini adalah betul dan tepat berdasarkan keterangan dan bukti. Di samping itu, kita mengkritik segala teori dan ideologi yang bercanggah dengan kebenaran ini dengan kritikan yang jujur berlandaskan teori-teori ilmu dan kajian agar tidak timbul lagi sebarang keraguan dan segala kebenaran akan jelas terpampang.

Namun demikian perlu diingat syahadah dalam bentuk perkataan ini tidak akan dapat direalisasikan atau dapat terlaksana melainkan jika seluruh umat ini saling bekerjasama merealisasikannya. Seluruh umat ini mestilah bergabung untuk membimbing seluruh manusia dan memimpin mereka dan menjadikan kebenaran ini sebagai matlamat hidup mereka, menjadikan kebenaran ini satu-satunya tumpuan yang tidak pernah lekang daripada ingatan mereka seperti yang telah dilakukan oleh para nabi ketika melaksanakan tanggungjawab mereka yang tidak pernah alpa untuk membimbing manusia walau sekelip mata. Dalam melaksanakan kewajipan ini adalah perlu langkah ini menjadi paksi yang memusatkan seluruh usaha dan seluruh tindak-tanduk kita. Langkah ini perlu menjadi fokus yang menggemblengkan seluruh kekuatan moral, fizikal dan material yang kita miliki. Langkah ini juga perlu menjadi objektif atau matlamat utama kita dalam apa jua kerja dan usaha yang kita lakukan. Namun jika wujud di kalangan kita mereka yang dengan jelas melaungkan kesesatan dan menentang kebenaran, ia merupakan suatu keadaan yang tidak dapat diterima oleh sebuah masyarakat yang menjadikan Syahadah Al-Haq ini sebagai satu-satunya fokus dan tumpuan mereka, jika benar masyarakat itu jujur dengan dakwaan mereka.

Syahadah Perbuatan

Syahadah dalam bentuk perbuatan pula bermaksud kehidupan seharian kita mestilah menjadi cermin yang membiaskan dasar dan prinsip yang kita yakini dan kita laungkan. Dalam melaksanakan kewajipan ini sebenarnya ia tidak cukup dengan hanya kita memperdengarkannya kepada manusia dan menyebutnya dengan memuji serta mengagung-agungkannya. Sebenarnya apa yang dapat mempengaruhi dan memikat jiwa manusia ialah apabila mereka melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita sepanjang hidup kita. Apa yang dapat menarik manusia supaya menerima dakwah ini ialah apabila mereka dapat rasakan melalui pergaulan mereka dengan kita, suatu nilai akhlak dan amanah yang disemai oleh iman di dalam hati pemiliknya. Nilai-nilai ini akan membesar dan membuahkan hasil. Mereka dapat melihat sendiri dengan mata mereka contoh-contoh manusia soleh yang dilahir dan dididik oleh agama ini. Mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang adil dan melaksanakan segala prinsip agama ini. Inilah caranya bagaimana manusia akan tertarik untuk berada di bawah bumbung agama yang benar ini. Mereka akan bernaung di bawah satu panji jika mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang soleh dan suatu budaya yang murni terpampang di hadapan mata mereka. Mereka dapat lihat bagaimana elemen budaya, ilmu dan seni berkembang di dalam persekitaran masyarakat ini dengan berlandaskan prinsip Islam yang sejati dan abadi. Mereka dapat melihat bagaimana wujudnya suatu sistem ekonomi yang adil dan bersih daripada segala percakaran dan manipulasi yang kejam. Malahan manusia secara semulajadinya akan tertarik untuk berada di bawah lembayung agama ini apabila mereka melihat sendiri bagaimana masyarakat yang berada di bawah naungan lembayung ini (lembayung agama). Di mana setiap sudut hidup mereka baik bersifat individu mahupun masyarakat semuanya berlandaskan akhlak yang mulia dan membawa kebaikan untuk seluruh bangsa manusia.

Inilah yang dikatakan sebagai syahadah dalam bentuk perbuatan dan inilah ciri-cirinya. Jelas di sini, syahadah ini tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan setelah kita, sebagai individu atau masyarakat menjadikan diri kita sebagai contoh yang jelas kepada agama kebenaran yang kita laungkan ini, dalam bentuk perbuatan, dalam bentuk yang dapat dilihat kesannya dalam dunia realiti. Ini dapat dilakukan apabila amalan setiap individu ummah ini menjadi saksi kepada kebenaran dakwah ini dan akhlak mereka menjadi saksi kepada kemurnian dakwah ini. Setiap rumah kita diwarnai oleh ajaran agama yang agung ini. Setiap gedung perniagaan dan setiap kilang kita disinari sinar hidayahnya. Setiap sekolah dan setiap institusi pengajiannya diterangi oleh cahayanya yang bergemerlapan. Setiap hasil sastera dan setiap akhbar kita menjadi wacana yang mengungkapkan keindahannya dan menjadi lidah yang mematikan hujah sesiapa sahaja yang cuba menolak kebenarannya. Demikian juga dengan dasar negara dan budaya masyarakat kita, seluruhnya menjadi contoh jelas kepada jalan lurus yang kita lalui, jalan yang kita mahu supaya seluruh manusia melaluinya dan bersama dengan prinsipnya.

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang bergaul dengan kita baik individu mahupun masyarakat, sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita dalam apa jua sudut akan mendapati setiap tingkah laku dan tindakan kita baik yang lahir daripada individu mahupun daripada masyarakat akan menjadi contoh dan saksi bahawa segala prinsip yang kita laungkan sebagai suatu yang benar dan disokong oleh kitab dan wahyu ini sememangnya benar dalam realiti hidup. Kehidupan manusia juga akan berubah menjadi lebih baik dan bertamadun apabila prinsip ini diamalkan dan menjadi landasan hidup mereka.

Namun jangan kita rasakan syahadah dalam bentuk perbuatan ini sudah cukup menandakan kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Tidak, sebenarnya syahadah ini tidak akan lengkap dan tidak akan terhasil melainkan setelah terbentuknya sebuah negara yang tertegak berlandaskan prinsip yang abadi seperti yang dinyatakan secara jelas oleh agama ini. Sebuah negara yang meletakkan usaha memartabatkan agama ini sebagai matlamatnya. Sebuah negara yang menjadikan pelaksanaan syariah Allah sebagai objektif dan misi utamanya. Sebuah negara yang merealisasikan sebuah negara Islam yang diimpikan. Di mana negara dan rakyatnya ditadbir dengan berlandaskan dasar yang adil, bersepadu dan bersumberkan seluruh teras agama. Malah negara Islam ini dapat dilihat melalui nilainya yang adil, dasar-dasar pembaharuannya, corak pentadbirannya, keamanan dan keharmonian yang diberikan kepada rakyatnya, langkah-langkah pemulihan yang dijalankannya, akhlak mereka yang terlibat dalam pentadbirannya, keteguhannya berpegang kepada kebenaran, kejujuran, amanah dan bersih dalam dasar yang dilaksanakan di dalam dan luar negara, dalam menentukan status aman dan perang. Semua suasana ini dapat dilihat dalam negara ini hingga menyebabkan semua lapisan masyarakat akan bersuara: “Demi sesungguhnya, agama yang dapat membentuk dan membangunkan sebuah negara seperti ini sudah tentu agama yang pasti akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia dan membawa penganutnya ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.” Apabila syahadah seperti ini digabungkan dengan syahadah dalam bentuk perkataan, sudah tentu hujah Allah mengatasi hujah manusia. Ketika itu kita tidak akan dipersoalkan lagi tentang tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu umat Islam. Ketika itu, umat ini boleh bersuara mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. di hadapan Allah, Pemilik yang Maha Kuasa, Maha Suci segala namaNya: “Kami telah sampaikan kepada seluruh penduduk bumi ini apa yang telah disampaikan kepada kami, tanpa mengenal erti penat lelah. Kami tidak bertanggung jawab terhadap mereka yang masih tidak mahu menerima kalimah hak dan enggan mengikut cara hidup sebenar yang diredai oleh Allah. Mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri dan mereka menurut jalan yang sesat kerana kezaliman dan keangkuhan mereka sendiri.”

Syahadah dan Realiti Ummah

Syahadah dalam bentuk perkataan dan perbuatan yang perlu kita laksanakan ini adalah semata-mata kerana kedudukan kita sebagai orang Islam dan orang yang beriman dengan Allah, orang yang bangga dengan Islam dan iman. Saudara, marilah bersama saya untuk melihat dengan lebih mendalam, apakah kita benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab yang besar ini? Kita mulakan dengan syahadah dalam bentuk perkataan. Jika anda perhatikan keadaan umat Islam hari ini dan anda paparkan akhlak dan tingkah laku mereka, anda pasti akan dapati bahawa mereka yang mengaku sebagai Islam melalui lidah dan pena mereka, sama ada sebagai individu atau sebagai sebuah masyarakat sebenarnya amat sedikit. Sementara mereka yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab syahadah ini seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya boleh dibilang dengan jari. Jika anda kecualikan jumlah yang sedikit ini anda akan lihat umat Islam yang mengaku sebagai Islam melalui lidah mereka sebenarnya telah mencemar nama baik agama ini di hadapan jiran mereka yang berlainan agama dan negara kerana akhlak mereka yang buruk dan tingkah laku mereka yang tidak senonoh.

Jika anda mahu melihat lebih mendalam sila perhatikan umat Islam yang memiliki tanah. Mereka ini mengakui bahawa undang-undang pusaka yang digubal oleh Allah di dalam kitabNya merupakan suatu undang-undang yang tidak berguna sebaliknya amalan jahiliyyah yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka lebih sesuai dan lebih baik untuk diamalkan. Sila lihat pula para hakim dan peguam yang hari-hari mengakui bahawa undang-undang Islam adalah tidak betul dan tidak perlu dilaksanakan. Menurut mereka teori asas syariat Islam iaitu yang diturunkan oleh Allah, pada asasnya adalah tidak betul. Menurut mereka lagi, undang-undang manusia yang digubal oleh manusia seperti kita ini lebih sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan dalam setiap urusan. Begitulah juga apabila anda perhatikan apa yang berlaku di peringkat universiti, kolej dan institusi pengajian termasuk pentadbir dan pensyarah-pensyarahnya, mereka mengakui bahawa segala teori yang dihasilkan oleh ilmuwan Eropah dalam bidang falsafah, sejarah, sains, ekonomi, politik, undang-undang, akhlak dan segala teori yang lahir daripada fahaman materialisme Eropah lebih dianggap logik dan disokong oleh kajian sains. Sementara pandangan Islam dalam bidang ilmu dan teori-teori tersebut tidak langsung diambil kira oleh para pensyarah dan profesor universiti kita. Demikian juga apabila anda perhatikan pengakuan para sasterawan melalui hasil karya mereka atau hasil pemikiran mereka yang menunjukkan mereka tidak mempunyai nilai sastera atau budaya tersendiri yang dapat mempengaruhi dan mencorak hasil sastera mereka melainkan pengaruh yang dibawa oleh sasterawan Inggeris, Perancis dan Rusia. Bagi mereka idea Islam yang selama ini melimpah ruah telah kering kontang. Alangkah dahsyatnya pengakuan ini. Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada akibat buruk semua ini.

Dalam masa yang sama akhbar dan majalah kita juga menyerupai akhbar dan majalah bukan Islam. Segala isu, kandungan dan dakyahnya tidak jauh berbeza. Selepas itu sila lihat para peniaga dan pengusaha, sepanjang siang dan malam melalui cara dan kaedah urusniaga yang mereka jalankan menunjukkan mereka mengakui bahawa undang-undang yang disyariatkan oleh Islam seperti kontrak, jual beli dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam bagi urusniaga yang dijalankan di pasar dan premis perniagaan adalah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan pada hari ini. Tidak ada cara lain bagi para peniaga dan para pengusaha yang menjalankan urusniaga di premis perniagaan kecuali menggunakan cara yang salah yang digunakan oleh orang yang tidak berpegang dengan agama yang benar, mereka yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Sementara itu, para pemimpin kita dan juga mereka yang menentukan polisi ummah ini pula hanya memahami semangat kebangsaan atau semangat perkauman. Cara dan kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu isu nasional atau isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan dasar sama sepertimana yang digunakan oleh orang-orang kafir. Malah mereka dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan sebagai panduan atau cahaya yang dapat menerangi sebarang krisis antarabangsa berkaitan dengan perlembagaan dan dasar-dasar penting. Dalam masa yang sama, rakyat atau golongan majoriti ummah pula secara zahir membuat pengakuan melalui lidah mereka bahawa tumpuan mereka hanya berlegar sekitar soal keduniaan. Seolah-olah mereka tidak pernah dikurniakan oleh Allah sebarang agama yang boleh menjadi bahan perbualan mereka atau boleh mengisi masa mereka untuk mereka bincangkan. Inilah pengakuan lisan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini di negeri kita ini dan di seluruh tempat di muka bumi ini.
Syahadah dalam bentuk perbuatan pula lebih buruk dan lebih dahsyat mencemar kesucian Islam. Kita tidak nafikan bahawa umat ini masih mempunyai beberapa orang tokoh yang baik. Orang-orang yang mempamerkan ajaran dan keindahan Islam dalam seluruh cara hidup, akhlak dan pergaulan mereka. Namun jumlah mereka ini terlalu kecil. Sementara majoriti umat ini pula masih belum keluar malah masih terus menerus terjun ke dalam lembah kehinaan. Apa yang jelas melalui peribadi umat Islam dan melalui akhlak mereka menunjukkan bahawa orang-orang yang terdidik dan membesar dalam asuhan Islam tidak berbeza sama sekali dari segi akhlak dan peribadinya dengan orang-orang yang membesar dan dididik oleh jahiliyyah. Mereka tidak jauh berbeza dari segi tingkah laku. Mereka juga tidak jauh berbeza dari segi adab dan amanah mereka. Malah apa yang lebih menyedihkan ialah orang-orang yang terdidik dan membesar dalam asuhan Islam ini lebih dahsyat dan lebih teruk melakukan maksiat dan kesalahan berbanding orang-orang kafir masakini. Orang Islam di zaman kita ini, walaupun hati saya hancur luluh sedih untuk menyatakan perkara ini, namun hakikatnya mereka boleh melakukan pembohongan, penipuan, penindasan dan penyelewengan. Mereka juga mampu untuk melanggar batas iman mereka. Mereka boleh mencuri, merompak, menyerang, merampas harta dan membuat huru-hara. Mereka tidak malu untuk membuat maksiat, melakukan angkara yang keji dan hina. Keadaan mereka sama sahaja dengan penganut-penganut agama-agama lain yang bertaburan di seluruh muka bumi ini. Kejahatan mereka sama sahaja. Malah tidak cukup setakat itu sahaja, seluruh cara pergaulan kita, makan kita, minum kita, keramaian kita, adat resam kita bersama keluarga dan dalam majlis perkahwinan, majlis kematian, perayaan kita, perhimpunan kita dan perarakan kita, semuanya menurut acuan jahiliyyah tradisi dan moden, bercampur aduk. Cuba sebutkan, adakah anda lihat apa-apa yang boleh melambangkan adab-adab dan akhlak Islam seperti yang diajar oleh pembimbing dan pemimpin kita, Nabi Muhammad s.a.w.?
Ringkasnya, setiap sudut kehidupan masyarakat kita bercanggah sama sekali dengan Islam. Malah seluruh manusia dan seluruh alam ini telah membuat kesimpulan bahawa penganut Islam sendiri lebih memilih jahiliyyah berbanding Islam, agama sebenar yang menyebabkan mereka lebih dimuliakan oleh Allah berbanding manusia lain. Adakah pada pandangan kamu mereka telah membuat kesimpulan yang silap mengenai cara hidup kita dan tindakan kita ini? Tidak mungkin kita mengatakan mereka silap, sedangkan kita memang menurut segala langkah jahiliyyah. Kita sendiri meniru segala budaya barat dan terpengaruh dengan kehebatan mereka. Malah apabila kita mahu dirikan sebuah sekolah atau sebuah kolej kita akan rujuk segala ilmu dan sukatan pelajarannya daripada orang-orang yang kufur dengan Allah dan rasulNya. Apabila kita mahu menubuhkan sesuatu pertubuhan, kita akan letakkan segala matlamat, peraturan asas dan rangka kerjanya sama seperti pertubuhan orang-orang kafir, sama tiada bezanya. Apabila seluruh ummah bangkit melaksanakan satu usaha yang penting atau bangun dengan suatu langkah atau mara dalam arena perjuangan politik, segala tuntutan, cara perjuangan, dasar, pendekatan, resolusi, ucapan dan kenyataan mereka tidak ubah seperti yang ditunjukkan oleh bangsa kafir ketika berhadapan dengan situasi dan suasana yang sama. Ummah ini akan menurut setiap jejak dan langkah mereka. Alangkah sedihnya melihat keadaan negara Islam yang menikmati kemerdekaan atau autonomi, negara-negara yang dipimpin oleh orang-orang yang menganut agama Islam namun negara-negara ini mengamalkan dasar negara bukan Islam. Negara ini mencedok undang-undang dan perlembagaan mereka daripada undang-undang kerajaan bukan Islam. Malah ada di antara negara Islam ini yang menyempitkan skop syariat Allah hanya dalam ruang lingkup undang-undang kekeluargaan. Ada juga negara Islam yang bertindak lebih jauh dengan meminda undang-undang kekeluargaan ini mengikut selera mereka. Kelemahan ini telah disedari oleh musuh ketat kita. Mereka menyedari sebahagian undang-undang yang diamalkan oleh kerajaan kita yang dilabelkan sebagai Islam itu sendiri bercanggah dengan asas agama yang sebenar dan bertentangan sama sekali dengan konsep syariat Islam yang bertoleransi. Baru-baru ini, seorang yang bernama Lawrance Browne, menulis sebuah buku yang bertajuk The Prospects of Islam dengan tujuan memburuk-burukkan umat Islam amnya dan umat Islam India khasnya. Buku ini mengetengahkan kepada para pembaca di Timur dan Barat tentang sikap umat Islam yang menolak undang-undang mereka sendiri dan membelakangkan sendiri cara hidup mereka yang mereka dakwa wajib diamalkan. Di sini dinyatakan apa yang ditulis oleh penulis tersebut dalam soal ini. Mudah-mudah ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih prihatin atau masih boleh mendengar dan melihat.

“Kita telah memansuhkan undang-undang jenayah dan sivil Islam di India kerana kita merasakan undang-undang ini adalah undang-undang zaman purba yang tidak lagi boleh diguna pakai di zaman ini. Cuma untuk umat Islam kita masih kekalkan undang-undang kekeluargaan (Personal Law). Tindakan kita ini telah menyebabkan ummat Islam merasa disakiti, kerana tindakan ini meletakkan umat Islam setaraf dengan ahli zimmi dalam sebuah negara Islam dalam abad sebelum ini. Apabila masa berlalu dan keadaan berubah, umat Islam India bukan sahaja selesa dengan undang-undang ini malah beberapa kerajaan Islam yang lain telah mengikut jejak langkah kita. Ada di antara kerajaan Islam ini seperti Turki dan Albania telah melakukan sedikit pindaan kepada undang-undang perkahwinan, cerai dan pusaka hingga meletakkan undang-undang mereka setanding dengan undang-undang kita. Tindakan seperti ini telah mendedahkan kita kepada suatu hakikat yang sering dinafikan oleh umat Islam iaitu akidah umat Islam yang menyatakan bahawa syariat Islam ini bersumberkan wahyu Ilahi atau kitab yang diturunkan daripada langit tidak lain hanyalah kisah khayalan atau mitos sahaja.” Inilah yang dinyatakan oleh penulis tersebut.

Inilah pengakuan dalam bentuk perbuatan yang telah ditunjukkan oleh seluruh umat Islam di seluruh rantau dan negara Islam. Walau apa sekalipun yang kita ucapkan atau apapun dakwaan yang kita kemukakan tentang Islam dan iman kita namun ia sebenarnya masih belum cukup untuk menjadi daya penggerak atau untuk menolak segala penyelewengan ini. Sebabnya, seluruh amalan kita tidak ragu-ragu lagi membuktikan bahawa amalan harian kita tidak memberi apa-apa sumbangan kepada agama dan ajaran agama ini. Malah kerajaan kita dan mereka yang bertanggungjawab secara khusus mahupun umum, semuanya melihat bahawa undang-undang dan syariat Islam ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mereka. Mereka tidak merasakan dengan melaksanakan undang-undang ini akan membuka laluan mereka untuk memperolehi kejayaan.

Inilah sebenarnya yang ditonjolkan oleh amalan, akhlak dan ucapan kita. Apa yang kita lakukan ini sebenarnya menyembunyikan kebenaran dan menyokong kepalsuan. Allah telah mengingatkan kita bahawa apa yang kita lakukan ini akan mengheret kita kepada azab yang berat di dunia dan akhirat. Kita kini merasakan sendiri akibat buruk keterlanjuran ini seperti yang pernah dirasai oleh umat-umat sebelum kita. Di antara undang-undang yang Allah tetapkan di alam ini ialah apabila sesuatu umat tidak bersyukur dengan nikmat Islam dan melanggar perintahNya, Allah akan timpakan mereka kebuluran, ketakutan dan kehinaan di dunia dan akhirat. Allah jadikan mereka sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, dahulu dan sekarang. Inilah yang telah dilakukan oleh tuhan kamu kepada bangsa Yahudi. Allah mengheret mereka ke dalam kehinaan dan Allah laknat mereka. Allah timpakan mereka hukuman yang berat dan tidak akan mampu dielak oleh mereka yang melakukan jenayah ini. Hari ini kita umat Islam sedang dihadapkan di hadapan mahkamah Allah yang mampu menampung seluruh isi bumi ini, di hari akhirat di mana segala perkara diadili dengan saksama dan setiap orang dihukum menurut kesalahan mereka. Bangsa Yahudi tidak mungkin dimurkai oleh tuhan mereka tanpa apa-apa sebab. Tidak mungkin mereka dihukum, dihina dan diheret ke lembah yang terkutuk tanpa apa-apa sebab. Kita sendiri tidak ada apa-apa yang dapat kita tunjukkan kepada Allah yang Maha Agung dan kita juga tidak ada apa-apa hubungan kekeluargaan dengan Allah yang mungkin dapat menyelamatkan kita daripada dihukum kerana kesalahan yang kita lakukan dan kita tidak mungkin akan diampunkan kerana kezaliman dan keangkuhan kita ketika di bumi ini, begitu juga kerana kesesatan kita. Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah setiap kali kita lengah dalam melaksanakan tanggungjawab Syahadah Al-Haq ini atau kita cuai dalam melaksanakan kewajipan ini, setiap kali kita bertindak menyokong kesesatan dan tenggelam dalam kesesatan dan kesalahan, kita sebenarnya telah berundur ke belakang dan kita akan ditimpa kelemahan. Kita juga akan dihimpit kehinaan dan kemunduran. Anda boleh lihat negara-negara umat Islam yang terbentang dari Maghribi di utara Afrika hinggalah ke Indonesia di Asia Tenggara, semuanya terlepas daripada genggaman kita dalam masa satu abad iaitu pada abad ke tiga belas Hijrah. Satu demi satu bangsa Islam dijajah dan menjadi kerdil hingga bangsa asing menjajah negara mereka serta menguasai sepenuhnya urusan pentadbiran negara mereka. ‘Muslim’ bukan lagi suatu panggilan yang melambangkan kegemilangan, ketuanan dan kemuliaan seperti yang berlaku sebelum ini. Malah apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila panggilan yang suci ini bertukar kepada menjadi panggilan yang melambangkan kehinaan, kemiskinan dan kemunduran. Kita kini tidak lagi mampu mengangkat kepala kita di hadapan bangsa lain. Kita telah dihina dan ditindas dengan cara yang di luar jangkaan kita. Ada bangsa Islam yang dibunuh kesemuanya. Ada umat Islam yang dihalau keluar dari negara mereka sendiri. Ada umat Islam yang diseksa dengan seksaan yang berat, mereka dihalau dan dijadikan hamba yang merempat di muka bumi. Sementara negara Islam yang kerajaannya masih dikuasai oleh umat Islam tidak mampu berhadapan dengan musuhnya dan tidak mampu memberikan tentangan yang setanding. Akhirnya kekalahan demi kekalahan terpaksa dilalui. Kini anda lihat negara-negara ini begitu kecut dengan kehebatan serangan bangsa asing. Segala strategi dan taktik yang digunakan tidak mampu untuk menentang ancaman bangsa asing atau untuk mendedahkan muslihat mereka. Demi sesungguhnya, jika wujud sebuah kerajaan Islam yang tulen, istiqamah dan menggunakan jalan yang betul dalam segala dasar dan urusan pentadbirannya, sebuah kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab syahadah dalam bentuk perkataan dan perbuatan, anda akan lihat segala kekuatan kufur akan goyah gentar dengan kehebatan kerajaan ini, hati mereka gementar dengan kekuatan kebenaran. Akal dan mulut mereka akan akur dan tunduk kepada keagungan kalimah kebenaran.

Jika anda mahu penjelasan yang lebih mendalam dan anda mahu mengetahui akibat buruk kesan membelakangkan Syahadah Al-Haq, silalah sorot kembali pandangan anda ke zaman silam. Lihatlah keadaan India ketika diperintah oleh Islam pada dua kurun sebelum ini hinggalah ke zaman kita ini. Kesan tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab syahadah ini, terlalu sibuk dengan soal politik, terlalu terpesona dengan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan yang berkuasa, kesan kita menyokong kesesatan, membelakangkan kebenaran, hanyut dalam kemungkaran dan perbuatan keji, akibatnya seluruh negara ini terlepas daripada genggaman kita. Kita terlalu leka tenggelam dalam lautan syahwat dan sibuk memenuhi kehendak peribadi. Akibatnya kita telah menerima pelbagai bentuk penindasan dan seksaan yang amat menghinakan di bawah cengkaman Marhatta dan Sikh. Selepas itu kita terpaksa pula akur dengan pemerintahan British yang memerintah dengan kuku besi dan menurut sesuka hati mereka hingga keadaan berubah dan suasana kembali kucar-kacir. Akhirnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah pada suku pertama kurun ini. Mereka terus menerus mencerai-ceraikan daging dan tubuh kita sesama mereka hingga kita akhirnya dihalau oleh British dan mereka meluah kita seperti meluah biji buah. Berkenaan puak hindu, kesan kesilapan kita dan penyelewengan yang kita lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab syahadah, bagaimana kita melayan mereka seperti rakyat asing semenjak berkurun yang lalu. Kesan tindakan kita itu mereka bangkit memberontak dan membalas dendam bagi pihak diri mereka dan datuk nenek mereka terhadap kita, wanita kita, orang tua kita dan zuriat kita. Sekarang mereka menguasai hampir keseluruhan benua India . Di bawah pemerintahan mereka, hampir empat puluh juta umat Islam terpaksa menerima akibat buruk kesan kecuaian mereka, kecuaian datuk nenek mereka dan kecuaian raja-raja mereka dalam melaksanakan tanggungjawab Syahadah Al-Haq. Mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman siang dan malam. Mereka dibunuh dan disembelih. Sementara negara baru kita ini, Pakistan yang kita perolehi melalui landasan yang pincang ini (landasan kebangsaan dan perkauman yang sempit) tidak mampu untuk melakukan apa-apa untuk membantu mereka. Malah negara ini tidak mampu bersuara bagi membantah apa yang dilakukan oleh puak Hindu terhadap rakyat India yang beragama Islam. Ini semua disebabkan struktur negara ini yang lemah dan jiwanya yang tidak berkeyakinan. Ini berlaku kerana mereka yang mentadbir negara ini hanya beriman dengan Allah pada mulut mereka sahaja. Ketergantungan mereka hanya kepada benda. Halatuju kerajaan ini masih menurut pendekatan yang ditinggalkan oleh guru-guru mereka yang berbangsa Inggeris. Apa yang jelas puak Hindu dan negara India lebih kuat berbanding mereka ini dari segi kelengkapan dan kekuatan. India lebih banyak memiliki sumber teknologi dan kekayaan hasil bumi. Mereka juga lebih setia untuk mengikut jejak langkah Inggeris, yang merupakan guru bagi kedua-dua pihak.
Demi sesungguhnya, jika umat Islam India benar-benar menegakkan keadilan dan kebenaran demi Allah, sudah tentu masalah kaum majoriti dan minoriti tidak akan timbul semenjak dahulu. Sudah tentu umat Islam hari ini tidak akan berhadapan dengan ancaman yang ditimbulkan oleh jiran mereka, kaum Hindu. Demi Allah, jika umat Islam hari ini menunaikan Syahadah Al-Haq mereka dan menampilkan imej agama yang benar lagi jujur ini dalam setiap perkataan dan perbuatan mereka sudah tentu masalah kaum majoriti dan minoriti di India akan lenyap dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Suatu perkara yang tidak syak lagi ialah jika negara kita ini (Pakistan) menunaikan dengan baik tanggungjawab syahadah ini dan memberikan segala haknya dengan penuh perhatian, kesungguhan dan kegigihan kemudian ia menonjolkan imej sebuah negara Islam yang adil dan berpegang teguh dengan landasan syariat yang luhur dalam aspek perlembagaannya, dasarnya, kehakimannya, hubungannya dengan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan lain, aspek undang-undangnya ketika aman dan perang, aspek perdagangan, perusahaan dan sebagainya... jika ini yang dilakukan oleh negara ini sudah tentu negara India yang kafir itu akan tunduk menyembah bumi kepada keagungan, ketinggian akhlak dan keluhuran dasar pemerintahan negara ini. Sudah tentu rasa takut dan gerun terhadap negara jiran akan lenyap.

Apakah sebenarnya masalah kaum majoriti dan minoriti? Bukankah masalah ini pernah dilalui oleh umat Islam pertama dahulu yang merupakan pelita yang menerangi kegelapan di zaman mereka? Memang benar, masalah ini pernah timbul di zaman mereka. Bangsa Arab ketika itu mahu melenyapkan kaum minoriti ini yang pada mulanya nisbah mereka tidak lebih seorang bagi setiap satu ratus ribu orang. Namun pelaksanaan Islam yang sebenar dan jelas telah mengubah jumlah minoriti ini kepada majoriti dalam tempoh tidak sampai sepuluh tahun. Apabila umat Islam yang melaksanakan kebenaran dan menegakkan keadilan ini bertebaran ke seluruh muka bumi dan menonjolkan ke seluruh suku kaum di dunia ini imej yang adil, saksama, amanah, bersih, telus dan sebagainya yang berteraskan akhlak yang mulia, maka kaum-kaum ini beriman dan menerima kalimah Allah; kaum-kaum yang bertaburan antara Turkistan dan Maghribi berduyun-duyun memeluk agama Allah. Malah rantau yang sebelum ini dihuni oleh bukan Islam kini seluruh rantau ini dipenuhi oleh umat Islam. Tiada seorang pun yang ketinggalan untuk memeluk agama Allah dan menerimanya dengan reda sebagai cara hidup mereka. Segala unsur fanatik perkauman atau perselisihan atau fanatik keagamaan tidak dapat menyekat kuasa suara kebenaran dan hujah ampuh yang dipertonton di hadapan mata kepala mereka. Jika pada hari ini kamu dianggap kerdil, terdedah kepada segala bahaya dan diancam tindakan yang menakutkan, ia sebenarnya adalah balasan atas perbuatan kamu yang menidakkan kebenaran dan menyokong kesesatan.

Itu adalah balasan apabila kita melupakan tanggungjawab dakwah ke arah kebenaran di dunia ini. Di akhirat kelak akan ada hukuman yang lebih dahsyat dan lebih berat berbanding penghinaan yang kita terima ketika di dunia yang fana ini. Semuanya disebabkan oleh kealpaan kita dan keengganan kita menunaikan tanggungjawab Syahadah Al-Haq. Saudara perlu sedar bahawa selagimana saudara tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan Syahadah Al-Haq ini, selagimana saudara tidak menegakkan keadilan kerana Allah dan menerangkan kebenaran sepertimana yang Allah mahu saudara lakukan, maka apa sahaja kesesatan dan pencerobohan di muka bumi ini, apa sahaja amalan jahat dan buruk yang merebak di alam ini, dan apa sahaja angkara keji dan kotor, maka saudara tidak akan terlepas daripada memikul tanggungjawabnya. Saudara tidak akan dapat melepaskan diri daripada turut bertanggungjawab. Jika saudara tidak turut sama memberi kesedaran tentang bahaya segala dosa dan kemungkaran ini, sudah tentu saudara akan dihukum kerana kecuaian dan kerana ketidak prihatinan saudara untuk melemahkan ancaman ini. Saudara akan dipersalahkan di hadapan tuhan kerana saudara tidak melakukan sebarang usaha untuk menyekat segala kepincangan yang mencengkam negara ini. Saudara tidak mengisytiharkan peperangan ke atas segala kepincangan ini walaupun Allah telah memerintahkan saudara melakukannya.

Mudah-mudahan dengan segala penjelasan ini tuan-tuan telah benar-benar memahami kewajipan syahadah yang perlu kita laksanakan kerana kita adalah orang Islam yang beriman dengan Allah, rasulNya dan hari akhirat. Mudah-mudahan kita benar-benar memahami bahawa kita selama ini terlalu sibuk dan tenggelam dengan segala kesesatan dan khayalan yang mempesonakan. Mudah-mudahan juga kita memahami bahawa segala kecelakaan dan penghinaan yang kita terima di bumi yang fana ini, begitu juga dengan pelbagai penindasan yang masih kita terima hingga ke hari ini adalah akibat daripada kesilapan kita yang tidak melaksanakan kewajipan Syahadah Al-Haq, akibat daripada kesilapan kita yang terlalu hanyut dengan keindahan hidup yang sementara ini; kita terlalu leka dengan idea baru yang dijaja oleh barat.

Jika tuan-tuan teliti masalah ini dengan bersungguh-sungguh dan tuan-tuan kaji hakikat sebenar masalah ini daripada perspektif ini, tuan-tuan pasti akan dapat melihat dengan jelas sejelas mentari di siang hari bahawa segala masalah yang dianggap oleh umat Islam hari ini sebagai masalah utama atau isu sebenar malahan masalah tersebut diletakkan sebagai objektif nasional atau matlamat utama negara, tuan-tuan dapat lihat bagaimana mereka berusaha siang dan malam berhempas pulas untuk mencapai objektif tersebut dengan menggunakan kaedah yang kebanyakannya diambil daripada bangsa asing dan meniru mereka bulat-bulat, jika tuan-tuan perhatikan semua ini dengan bersungguh-sungguh tuan-tuan akan fahami dengan jelas bahawa semua masalah atau isu ini sebenarnya bukanlah masalah utama mereka dan tiada hubungan langsung dengan objektif mereka sepertimana yang digariskan oleh Allah. Langkah membelanjakan segala kekayaan dan menggembleng segala kekuatan moral yang ada bagi mencapai hasrat tersebut atau bagi mengatasi segala masalah tersebut sebenarnya merupakan langkah yang membazir dan mensia-siakan kekuatan yang amat berharga ini sebaliknya hanya mengundang kemurkaan dan bala Allah.

Tentang soal bagaimana kaum minoriti mampu memelihara identiti mereka atau kepentingan mereka dalam kalangan majoriti yang ada di sekeliling mereka? Bagaimana pula kaum majoriti dalam sesebuah negara mampu memperolehi kuasa dalam keadaan mereka merupakan jumlah terbesar yang sepatutnya menikmati hak tersebut? Bagaimana pula bangsa yang tertindas mampu mempertahankan kemerdekaan dan kebebasan mereka, atau mampu mempertahankan diri daripada angkara golongan yang zalim? Bagaimana pula sebuah bangsa yang ditindas mampu mengembalikan hak-hak mereka yang telah dirampas dan kemudian mampu menikmati hidup yang selesa seterusnya mampu menggembleng kekuatan kebendaan mereka untuk menandingi bangsa-bangsa yang kuat dengan kekuatan yang seimbang?

Kesemua persoalan ini atau yang seumpama dengannya mungkin menjadi suatu persoalan yang amat penting dan mendapat tumpuan utama bagi masyarakat bukan Islam. Malah persoalan ini menjadi paksi yang bakal menggembleng segala usaha mereka. Persoalan ini akan menjadi objektif di mana segala usaha dan perjuangan mereka akan dipusatkan ke arahnya dan mereka menanti dengan penuh harapan. Namun demikian bagi kita umat Islam segala persoalan ini bukanlah masalah-masalah yang berlainan antara satu sama lain sebaliknya semuanya itu merupakan akibat kepada kelalaian yang tidak sepatutnya kita lakukan dan telah menyelubungi kita semenjak berabad lamanya. Masalah ini merupakan akibat buruk kesan tindakan kita yang sejak sekian lama malah sehingga ke hari ini masih mengabaikan segala tanggungjawab kita yang sebenar, tanggungjawab yang perlu menjadi tumpuan untuk kita capai.

Jika kita laksanakan segala tugas yang sepatutnya kita laksanakan ini sudah tentu pada hari ini kebanyakan masalah rumit yang tiada penghujungnya ini tidak akan timbul. Tidak akan timbul segala masalah yang telah sekian lama mencengkam jiwa ini dan hampir-hampir mematikan kekuatan moral kita.Demi sesungguhnya, jika kita memahami fenomena hari ini, kita menyedari hakikat apa yang berlaku ini dan kita melangkah dengan satu langkah baru bagi mencapai objektif kita yang sebenar dan kita arahkan segala tumpuan kita ke arah matlamat yang kita impikan ini dengan tidak lagi menoleh ke kiri dan kanan atau mempedulikan apa sahaja yang merintangi laluan kita atau apa sahaja masalah yang bakal menghalang kita daripada melaksanakan tugas sebenar kita ini atau apa sahaja masalah yang boleh menggugat kita dalam melaksanakan dakwah dan tanggungjawab syahadah ini, jika kita melangkah dengan suatu usaha yang bersungguh-sungguh dan kita gembleng segala tenaga yang ada sudah tentu segala kegelapan yang menyelubungi kita hari ini akan tersingkap, segala masalah yang selama ini mencengkam jiwa kita akan terlerai. Sebabnya, sebagai umat Islam kita telah dijadikan oleh Allah sebagai lampu yang menyuluh kejahilan dan sebagai cahaya yang menerangi kealpaan dan kesesatan. Kita sebenarnya bertanggungjawab terhadap kesesatan alam ini, apabila manusia tenggelam dalam lembah kezaliman. Apabila kita alpa dengan segala tanggungjawab kita, apabila kita lupa dengan peranan yang perlu kita mainkan sebaliknya kita leka dengan hiburan dunia yang hina ini, muka bumi ini akan dilanda dengan segala kezaliman dan pencabulan. Alam ini akan diselubungi kejahilan, kezaliman, kemaksiatan dan dosa. Sudah tentu saham kita akibat daripada segala malapetaka serta segala kecelakaan dan penghinaan ini lebih besar berbanding orang lain. Ini tidak memeranjatkan kerana orang yang bertanggungjawab perlu memikul kesalahannya dan kesalahan orang yang berada di bawah bidang kuasanya yang sepatutnya diberikan bimbingan.

Malangnya dan amat-amat malang apabila ulama dan pemerintah Islam sendiri tidak langsung memahami hakikat yang jelas nyata ini. Mereka masih mengajak bangsa mereka supaya meyakini bahawa masalah sebenar yang perlu mereka perhatikan, masalah yang perlu mereka tumpukan dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh ialah masalah kaum majoriti, masalah kemerdekaan negara, masalah mengekalkan identiti bangsa dan kekuatan kebendaan. Demikianlah bagaimana mereka mengajak saudara-saudara seIslam mereka supaya turut sama menggunakan kaedah dan prosedur yang mereka terima daripada bukan Islam bagi menyelesai dan merungkai segala masalah yang mereka hadapi. Mengapa mereka seolah-olah tidak dapat membezakan antara tabiat dan ciri Islam dengan tabiat dan ciri kufur.

Demi Allah yang memegang nyawa ini, saya amat memahami dengan jelas hakikat ini, segala cara dan pendekatan ini merupakan cara yang digunakan oleh golongan kufur dan kemudian elemen-elemen ini diikuti oleh para pemimpin kamu dan orang-orang yang menerajui urusan kamu. Mereka ini telah tersesat dan kemudian menyesatkan ramai manusia, memimpin manusia jauh daripada jalan yang sebenar.
Jika tuan-tuan masih menggunakan jalan yang bersimpang siur ini, jalan yang sesat ini dan tuan-tuan tidak mahu menggunakan jalan yang lurus, tuan-tuan tidak akan mampu mencapai apa yang dicitakan dan tuan-tuan tidak akan beroleh apa-apa petunjuk dan kejayaan di dunia dan akhirat. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk saya jelaskan masalah ini kepada tuan-tuan. Saya akan jelaskan masalah ini dan saya akan huraikan masalah utama hidup tuan-tuan yang ada kaitannya dengan masa depan tuan-tuan di dalam hidup di dunia dan di akhirat. Agar tuan-tuan benar-benar memahami masalah tuan-tuan dan hakikat yang sebenar. Apa yang jelas berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang Allah berikan, saya yakin bahawa masa depan kamu di dunia ini dan kehidupan kamu di akhirat kelak berlegar dalam satu masalah iaitu bagaimana kamu menangani soal hidayah yang telah disampaikan kepada kamu oleh Nabi s.a.w. yang buta huruf dan berbangsa Arab; Hidayah yang kamu imani dan kerana hidayah ini jugalah kamu diterima sebagai umat Islam. Sama ada kamu setuju atau tidak, hidayah ini telah meletakkan kamu sebagai utusan Islam ke seluruh alam. Seluruh manusia akan melihat agama yang benar ini melalui kamu. Jika kamu berpegang teguh dengan hidayah ini dan kamu tunjukkan syahadah yang sebenar melalui perkataan dan segala amalan yang kamu lakukan dengan bersungguh-sungguh seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya, apabila akhlak dan nilai Islam jelas terpampang melalui cara hidup kamu dalam masyarakat dan dalam pergaulan kamu dengan imej yang sungguh indah dan menarik, itulah sebenarnya kejayaan dunia dan akhirat. Ketika itu tuan-tuan tidak akan lagi melihat awan mendung yang berarak membawa ketakutan, putus asa dan kehinaan yang selama ini menyelubungi hati nurani tuan-tuan. Semuanya hanyalah umpama awan yang berarak pada musim panas yang tidak berapa lama lagi akan hilang. Kamu akan perhatikan bagaimana dakwah kamu yang benar ini dan akhlak kamu yang tulus ini akan mula mempengaruhi manusia dan akan mula meresap ke dalam hati dan fikiran manusia yang matang. Seluruh alam akan mengakui sifat amanah, bersih dan luhur yang ada pada kamu. Mereka akan menaruh harapan pada kamu dan mengharapkan kamu melayan mereka dengan adil dan saksama. Mereka akan berkeyakinan dengan kamu dan ketelusan kamu ketika berurusan dengan mereka. Tuan-tuan akan melihat seluruh manusia akan bersandar kepada kata tuan-tuan. Mereka akan merujuk segala perselisihan mereka kepada kata tuan-tuan dan mereka akan bergantung sepenuhnya kepada tuan-tuan. Pada ketika itu, pemimpin yang kufur dan sesat tiada nilai lagi. Segala asas falsafah, politik dan ekonomi mereka akan goyah. Segala tipu helah mereka akan terbongkar apabila berhadapan dengan kejujuran kamu dan cara hidup kamu yang istiqamah. Segala kebenaran dan kepalsuan, segala yang tiruan dan yang asli akan dapat dibezakan dengan jelas, dengan perbezaan yang amat ketara. Segala kekuatan dan keupayaan yang pada hari ini anda lihat berpihak kepada barisan kufur dan bernaung di bawah panji mereka, anda akan lihat semuanya akan berpecah dan terlerai satu demi satu untuk menyertai barisan Islam dan bernaung di bawah panji Islam. Hinggalah akan datang suatu masa ketika mana sosialisme sendiri akan merasa takut di dalam kubu mereka sendiri, takut dengan nasib sendiri. Kapitalisme pula akan merasa gementar di dalam tanah tumpah darah mereka sendiri, takut mereka akan lenyap dan kehilangan kuasa. Universiti-universiti di London dan Paris tidak mampu lagi bertahan sebagai pusat kepercayaan menentang tuhan dan pusat falsafah kebendaan. Malah tidak wujud lagi mereka yang menyokong fahaman fanatik perkauman dan semangat kebangsaan yang wujud dalam komuniti Brahma dan Jerman.Pada hari itu fajar akan menyingsing mengingatkan kita masa silam di masa kita melupakan kewajipan kita dan kita leka menunaikan tanggungjawab kita. Hari itu mengingatkan kita hari-hari silam dengan hati yang bercampur baur antara suka dan duka. Kita himbau sesama kita dan kita sampaikan buat generasi mendatang bahawa pernah suatu ketika di mana pembawa panji Islam sentiasa merasa ketakutan apabila melihat kehebatan kuasa barat di sekeliling mereka. Hanya iman mereka menjadi penawar kepada segala penyakit dan menjadi penyelamat daripada segala kejahatan.

Inilah yang dapat saya lihat pada masa depan kamu yang gemilang dengan syarat kamu menyerahkan diri kepada Allah dengan sebenar-benar ikhlas demi agamanya dan kamu menegakkan keadilan demi Allah dan mendokong kebenaran sepertimana yang Allah mahukan. Jika kamu lakukan sebaliknya, kamu ubah segala kebenaran, kamu tidak ubah seperti orang yang memiliki simpanan yang berharga tetapi tidak mahu menggunakannya dan tidak membenarkan orang lain memanfaatkannya, kamu mendakwa sebagai muslim dan kamu gunakan nama Islam, kamu tonjolkan imej kamu di hadapan seluruh manusia sebagai seorang pendokong Islam dan penegak panji Islam, tetapi melalui perkataan dan perbuatan umum kamu mendokong kesesatan, kamu sokong amalan jahiliyyah, syirik, maksiat dan kamu tenggelam dalam arus dunia yang hina, kecuali segelintir sahaja yang terselamat.

Kitab Allah ada bersama kamu, di dalam dada kamu, di rumah kamu, di sekolah kamu, di perpustakaan kamu, malangnya seluruh umat ini lebih mudah merujuk dan mendapat bimbingan pemimpin-pemimpin kufur dan sesat. Kamu mendakwa menyembah Allah tetapi kamu menyerahkan seluruh hidup kamu kepada taghut yang disembah bukan kepada Allah. Kamu bersahabat dan bermusuh semata-mata kerana kepentingan peribadi untuk kepentingan diri sendiri. Kamu melaungkan Islam dan kamu gunakan nama Islam semata-mata untuk menipu manusia dan supaya kamu memperolehi keuntungan dunia.

Ringkasnya kamu tidak laksanakan segala kewajipan syahadah ini sebaliknya kamu lakukan sebaliknya, kamu ubah kedudukan sebenar dan kamu lakukan sepertimana orang yang menolak sama sekali kebaikan agama yang jelas ini, orang yang menolak keberkatan agama ini yang sentiasa melimpah ruah. Apatah lagi mereka memisahkan seluruh manusia daripada menerima sumber air yang bersih, yang telahpun mereka cemari puncanya; mereka cemari dengan akhlak dan tingkah laku mereka yang buruk. Jika kamu masih mahu menempuh jalan yang berliku ini dan kamu memilih untuk bersama kenderaan yang buruk ini, kamu sebenarnya kerugian di dunia dan akhirat. Kami memohon moga Allah menjauhkan kami daripada bencana ini. Ini adalah sunnah Allah yang telah ditetapkan pada ciptaanNya dan tiada siapa yang mampu mengubahnya. Kamu sendiri telah saksikan dengan mata kepala kamu sendiri akibat bala dan kemurkaan Allah yang telah kamu lalui dan sehingga kini kamu masih merasainya sepanjang hidup di dunia ini. Tiada siapa tahu apa akan berlaku pada kamu pada masa akan datang. Mungkin apa yang akan berlaku lebih dahsyat daripada hari ini.

Sebenarnya jika kamu tanggalkan segala nilai Islam yang kamu pakai hanya semata-mata untuk mengelabui mata manusia sebaliknya kamu tonjolkan kekufuran kamu, sudah tentu kedudukan kamu di dunia ini akan lebih baik dan kamu akan dapat menikmati segala kesenangan di dunia ini sama seperti yang dinikmati oleh penduduk dan pemimpin di Amerika, Rusia dan Britain . Sementara jika kamu mengaku sebagai Islam kemudian menyokong kekufuran atau kamu mendakwa sebagai Islam kemudian kamu mencemar nama baik Islam di hadapan mata masyarakat dunia melalui pengakuan palsu kamu dan kamu menutup segala pintu hidayah untuk semua manusia tidak kira bangsa, apa yang kamu lakukan itu sebenarnya suatu jenayah yang sudah pasti akan menghumban kamu ke dalam kehinaan di dunia ini. Sudah tentu jenayah ini akan mengheret kamu kepada kecelakaan dan kehinaan dalam apa jua sudut kehidupan di dunia ini. Malah mengundang azab yang pasti dikenakan oleh Allah kepada mana-mana manusia yang melakukan jenayah ini, dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan yang terkutuk ini, azab yang kamu sendiri tidak akan mampu menanggungnya dan tiada siapa yang akan dapat menyelamatkan kamu.

Cukuplah apa yang berlaku kepada Yahudi sebagai pengajaran untuk kamu. Mereka mendakwa mereka adalah anak-anak dan manusia yang dikasihi oleh Allah. Namun sebaliknya mereka dilanda mala petaka dan penghinaan, malahan mereka beroleh kemurkaan dan bala Allah. Sama sahaja, sama ada kamu menolak jalan yang lurus ini dan kamu menggunakan pendekatan nasionalisme atau sosialisme, atau kamu menggunakan pendekatan perkauman sempit atau kapitalisme atau kamu gunakan apa juga pendekatan, ia tidak akan diterima di sisi Allah dan tidak akan dapat membersihkan kamu daripada kesalahan kamu menolak kebenaran.

Satu-satunya jalan untuk menyelamatkan diri daripada akibat kealpaan dan azab yang pedih ini ialah kamu menolak segala cara atau pendekatan yang hanya membawa kamu tanpa hala tujuan, memesongkan kamu daripada jalan yang sebenar. Kamu hendaklah berwaspada dan menjauhkan diri daripada terheret bersamanya.

Dengan ini saya telah jelaskan kepada tuan-tuan secara mendalam tentang kewajipan kita dalam menunaikan Syahadah Al-Haq ini. Saya juga telah jelaskan kecuaian tuan-tuan dalam soal ini yang menyebabkan tuan-tuan terpaksa melalui segala mala petaka, penghinaan dan kemunduran dari segi moral dan material.

Jalan Kami

Sekarang saya ingin jelaskan kepada tuan-tuan apa yang kami lakukan dan ke arah mana hala tuju kami. Dakwah kami ditujukan kepada mereka yang beriman dengan Allah sebagai tuhan dan Islam sebagai agama. Kami menyeru mereka; Agar menjadikan Islam sebagai agama dalam realiti hidup mereka; Agar mereka berpegang dengan Islam baik secara individu atau secara kolektif; Agar mereka mempraktikkan segala kebaikan Islam; Agar mereka membentuk hidup mereka dalam konteks individu mahupun masyarakat dengan kebaikan Islam; Agar mereka melaksanakan segala rukun Islam dan menyokong segala teras Islam; Agar mereka menyemai nilai mulia dan keberkatan Islam di dalam keluarga mereka, saudara-mara mereka, masyarakat mereka dan sekolah mereka; Agar mereka mencorak urusniaga dan segala urusan ekonomi mereka menurut Islam. Begitu juga kami mengajak mereka supaya melaksanakan segala tuntutan agama ini di dalam pertubuhan dan institusi negara dan membentuk dasar negara mereka berlandaskan ajaran Islam. Sehingga tiada lagi mana-mana sudut kehidupan atau mana-mana sistem yang ada sama ada sistem di kala perang atau aman, dasar hubungan antarabangsa, masalah ekonomi dan masalah sosial, semuanya dalam bentuk yang bersesuaian dengan nilai agama yang benar ini atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.

Ringkasnya, hala tuju dan sasaran kami ialah agar umat Islam mendokong kebenaran melalui kata-kata mereka di hadapan seluruh manusia, dengan pengakuan yang sebenar dan meyakinkan seluruh manusia tentang ajaran agama ini, meyakinkan mereka bahawa ajaran agama ini adalah ajaran yang benar. Syahadah ini iaitu syahadah sebenar dan usaha ke arah memartabatkan agama hendaklah menjadi objektif utama seorang muslim dan suatu yang paling utama perlu diusahakannya. Syahadah ini sepatutnya menjadi paksi yang memusatkan segala amalannya di dunia ini dan sepatutnya menjadi matlamat yang menggembeling segala tenaga dan usahanya.

Marilah sama-sama wahai umat Islam, hentikanlah segala amalan yang bercanggah dengan Islam atau yang mencemar nama baik Islam. Nilailah segala amalan kamu. Nilailah segala perkataan atau perbuatan yang kamu ucapkan atau kamu lakukan dengan neraca Islam yang sebenar. Jauhkanlah segala perkara yang tidak diterima oleh neraca ini. Arahkanlah segala jiwa raga kamu ke arah dakwah Islam. Jadikanlah Syahadah Al-Haq ini sebagai objektif utama kamu dalam hidup ini tanpa kamu mengenal erti penat lelah hingga kamu mampu membuktikan syahadah ini menurut cara yang sebenarnya. Sehingga segala elemen agama ini tertegak dan mampu dilihat oleh seluruh manusia seterusnya menjadi hujah Allah bagi mendakwa hamba-hambaNya yang ada di bumi ini. Agar tidak wujud lagi sebarang alasan untuk manusia kemukakan kepada Allah selepas ketiadaan para rasul. Demikianlah yang dinyatakan oleh Allah di dalam kitabNya dan benarlah segala firmanNya.

Inilah satu-satunya tujuan penubuhan Jama’ah Islam. Jalan yang kami pilih untuk melaksanakan tanggungjawab ini ialah kami mulakan dengan umat Islam. Kami ingatkan mereka tentang kewajipan mereka dan kami jelaskan kepada mereka erti Islam yang sebenar. Kami bentangkan kepada mereka tuntutan Islam dan apa yang Islam tuntut supaya mereka lakukan dan mereka tunaikan. Apakah tanggungjawab yang diletakkan ke bahu seorang muslim sebaik sahaja dia memeluk agama Allah ini, sebaik sahaja dia beriman dengan Allah dan hari akhirat.
Mereka yang menyambut baik dakwah ini dan memahami dengan jelas seruan kami ini, kami akan jelaskan pula selepas itu bahawa kebanyakan amalan yang dituntut oleh Islam tidak dapat dilaksanakan secara individu atau perseorangan. Malah sebahagian besarnya perlu dilaksanakan secara jamaie (kerja berkumpulan) dan membabitkan kesemua lapisan masyarakat Islam baik dalam bentuk individu mahupun berkumpulan. Amalan dalam agama ini yang berkaitan dengan individu terlalu sedikit. Agama ini tidak mungkin akan dimartabatkan, kalimah agama ini juga tidak mungkin dapat dinobat dan kewajipan syahadah ini tidak mungkin akan tertunai dengan hanya sebahagian kecil ini. Ia tidak memadai. Tambahan pula, sebahagian kecil ini juga tidak mungkin dapat dilaksanakan sepenuhnya, segala perintah dan larangan agama ini juga tidak dapat diamalkan selagimana kehidupan masyarakat dikuasai oleh kuasa kufur; ketika kuasa kufur menentukan nasib masyarakat ini. Malah sistem kufur akan menyempitkan ruang amalan untuk agama individu, jikalau istilah ini boleh diterima. Apa yang saya maksudkan di sini ialah amalan yang berkenaan dengan individu sahaja seperti yang disebutkan sebelum ini akan disempitkan ruang pengamalannya oleh sistem kufur sedikit demi sedikit. Tidak ada cara lain dalam usaha memartabatkan agama yang sempurna ini dan dalam usaha melaksanakan Syahadah Al-Haq sepenuhnya selain umat Islam yang memahami tanggungjawab mereka, umat Islam yang bersemangat serta bersedia untuk berusaha dan mengorbankan tenaga untuk mencapainya… Mereka perlu disatukan dan menjadi satu kelompok yang tersusun. Barisan mereka hendaklah dikemaskan bagi menegakkan agama yang benar dan menyeru seluruh manusia supaya menghirup bayu segar ini dan beroleh kesegaran mata airnya. Semoga dengan ini mereka dapat bangkit bersama bagi merealisasikan matlamat agung ini. Di samping dapat bersatu berhadapan dengan mereka yang meletakkan pelbagai halangan dan rintangan sepanjang jalan dakwah yang mengajak manusia ke arah kejayaan dan kedaulatan agama ini. Malah mereka akan dapat menyingkir segala anasir yang berniat jahat. Mereka juga akan mampu menangkis apa jua serangan yang mengancam jalan ini atau cuba untuk menggagalkan usaha ini.
Dari sini anda akan memahami mengapa Allah dan rasulNya memerintahkan kita supaya sentiasa bersama dalam satu jamaah. Malah Allah tegaskan perkara ini setegas-tegasnya. Oleh itu tidak hairan jika anda lihat cara beramal yang betul dan diredai oleh Allah dalam mengharungi jalan dakwah ke arah menegakkan dan memartabatkan kalimah agama ini bermula dengan membina struktur jamaah dan memperkemaskan tonggaknya terlebih dahulu. Selepas itu barulah melangkah kepada beramal dan berjuang di jalan Allah. Konsep ini iaitu keperluan berjamaah dan kedudukannya yang penting dalam asas Islam telah dinyatakan oleh pelbagai hadis. Termasuklah hadis yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Saya memerintahkan supaya kamu melaksanakan lima perkara; jamaah, dengar, taat, hijrah dan jihad di jalan Allah. Barangsiapa yang keluar daripada jamaah ini walaupun sejengkal dia telah merungkai ikatan Islam daripada lehernya kecuali dia kembali semula. Barangsiapa yang menyeru dengan seruan jahiliyyah dia adalah penghuni neraka Jahannam walaupun dia puasa, sembahyang dan mengaku sebagai Islam.”
Hadis di atas yang mengandungi beberapa unsur berharga membentangkan tiga perkara penting:
1. Langkah yang betul serta semulajadi dalam melaksanakan dakwah dan usaha menegakkan agama ini mestilah bermula dengan membina sebuah jamaah. Di mana semua anggotanya tunduk dan taat kepada salah seorang di antara mereka dan segala arahannya. Selepas itu barulah, beramal dengan hijrah dan jihad, bergantung kepada persekitaran dan keadaan yang diizinkan. Ini yang pertama.
2. Kedua, keluar daripada jamaah ini dianggap keluar daripada Islam dan kembali kepada kehidupan jahiliyyah di zaman di mana orang-orang Arab tidak mempunyai seorang ketua yang diberikan kesetiaan dan ditaati arahannya.
3. Ketiga, kebanyakan tuntutan dan objektif utama Islam hanya dapat dicapai dengan adanya jamaah dan usaha secara berkumpulan. Kerana itulah, bagi orang yang keluar daripada jamaah, Nabi s.a.w. bersabda: “Dia telah merungkai ikatan Islam daripada lehernya walaupun dia puasa, sembahyang dan mengaku sebagai Islam.” Atas dasar inilah pemimpin kita Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Tiada Islam tanpa jamaah.”

Mereka yang benar-benar memahami konsep ini akan merasakan suatu rasa tanggungjawab dan rasa keimanan yang tinggi terhadap kewajipan ini. Perasaan ini akan membawa mereka menolak segala keinginan dan matlamat peribadi mereka semata-mata untuk turut sama dalam arus jamaah dan bersedia menurut segala peraturannya kerana mengharapkan keredaan Allah dan kerana berkhidmat untuk agama yang benar ini. Bagi mereka ini kami ingin seru supaya mereka memilih salah satu daripada tiga pilihan yang terbentang di hadapan mereka... tiada pilihan selain daripada yang tiga ini:
1. Jika hati kamu merasa yakin dan selesa bahawa dakwah, prinsip, objektif, struktur jamaah kami dan cara bekerja yang kami pilih untuk jamaah dan diri kami ini adalah benar, bersumberkan al-Kitab dan sunnah tanpa dicemar oleh sebarang unsur jahiliyyah; jika kamu yakin semua ini dan kamu sendiri mengakui bahawa segala amalan yang telah kami laksanakan dan dakwah kami ini merupakan amalan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan objektif utama setiap muslim dan muslimat di seluruh dunia, maka marilah bersama-sama sertai kami untuk membantu kami melaksanakan tugas ini dan bersama-sama kita beramal demi kepentingan kamu sendiri di dunia dan di akhirat, dengan izin Allah.
2. Jika kamu tidak yakin dengan cara kerja kami dan hati kamu tidak terbuka untuk bersama-sama kami, carilah jamaah lain yang bekerja untuk matlamat agama yang sebenar, jamaah yang berusaha dengan menggunakan cara yang islamik. Gabungkan diri kamu ke dalam jamaah tersebut. Bernaunglah di bawah panjinya dan sertailah mereka bersama amalan mereka. Demi sesungguhnya, jika kami temui sebuah jamaah seperti ini sudah tentu kami akan turut serta bersamanya. Kami adalah golongan yang amat berusaha untuk bekerja di bawah satu jamaah. Kami tidak mahu sama sekali berkelainan dan berpisah. Kami juga tidak mahu sama sekali berpecah.
3. Jika kedua-dua pilihan ini masih tidak sesuai dengan diri kamu. Maksudnya jika kamu tidak setuju untuk bersama dengan kami dan tidak menemui mana-mana jamaah lain yang memiliki ciri tersebut, bentuklah sebuah jamaah yang berlandaskan agama yang sebenar, bermatlamat menegakkan agama Allah sepenuhnya dan melaksanakan Syahadah Al-Haq melalui perkataan dan perbuatan supaya kamu dapat melaksanakan kewajipan Islam kamu dan kamu dapat melaksanakan segala kewajipan agama kamu.

Inilah tiga peluang dan tiga cara beramal yang terbentang di hadapan mereka yang menerima dakwah ini dengan baik dan dapat merasai tanggungjawab mereka sebagai individu dan sebagai sebahagian daripada masyarakat. Kami katakan kepada mereka ini dan kami persilakan mereka supaya memilih mana-mana cara ini. Jika kamu telah memilih salah satu cara ini kamu tidak akan terpisah daripada kebenaran dengan izin Allah. Kami tidak pernah mendakwa dan kami tidak ada hak untuk mendakwa bahawa jamaah kami sahaja yang benar sementara mereka yang tidak mahu menyertai kami dan tidak mahu bersama arus kami adalah sesat. Tidak, kami tidak pernah berkata demikian. Sudah tentu kami tidak akan katakan demikian kerana kami amat sedar dan faham. Malah kami juga tidak mengajak orang lain untuk bernaung di bawah panji kami atau mengajak mereka untuk menyertai jamaah kami. Sebaliknya dakwah kami daripada awal hingga akhir hanyalah untuk mengajak mereka melaksanakan kewajipan yang menjadi tanggungjawab setiap muslim dan muslimat, seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Sesiapa yang melaksanakan kewajipan ini atau berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya, dia telah berada di landasan yang benar, tidak kira sama ada dia menyertai kami ataupun tidak. Sebaliknya jika kamu tidak melaksanakan kewajipan kamu atau kamu tidak berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab syahadah ini iaitu Syahadah Al-Haq dengan cara yang betul atau kamu tidak cuba membantu mereka yang bekerja untuk mencapai objektif tersebut, tindakan kamu itu sebenarnya tidak betul. Begitu juga jika kamu bertangguh untuk turut sama melaksanakan kewajipan syahadah ini atau berusaha untuk menegakkan agama ini sebaliknya kamu kemukakan pelbagai helah dan alasan yang tidak berasas, atau lebih teruk lagi apabila kamu kerahkan segala kekuatan kamu atau kamu arahkan segala tumpuan dan usaha kamu ke arah mendokong kesesatan, kamu bina dan kemaskan struktur dan tonggak kesesatan… kamu dokong kesesatan melalui perbuatan kamu dan kamu cemar kebenaran melalui perangai dan tingkah laku kamu... semua ini akan mengakibatkan kamu dihukum di hadapan Allah dan kamu akan merasai akibat buruk tindakan kamu ini. Mungkin segala helah atau segala alasan ini akan berguna dan boleh meringankan jenayah kamu jika perkara ini diserahkan kepada manusia di dunia ini. Namun kes kamu ini akan diserahkan kepada Allah yang Maha Tinggi dan Maha Esa. Tuhan yang tidak akan dicabar di kerajaan rayaNya ini dan tuhan yang tidak akan lupa apa yang berlaku di langit dan di bumi walaupun sebesar zarah. Kamu tidak akan dapat melepaskan diri!

Tidak dinafikan kewujudan lebih daripada satu jamaah yang mempunyai hasrat dan objektif yang sama merupakan suatu yang tidak baik. Mungkin kepelbagaian ini akan memudaratkan objektif yang dicita-citakan itu sendiri. Namun tiada apa yang dapat kita lakukan pada peringkat awal ini. Kuasa Islam telahpun terungkai dan hancur lebur semenjak beberapa abad yang lalu. Pada hari ini bukan kita sahaja yang mempelopori usaha ini dan bukan kita sahaja yang menentukan nasib kuasa Islam yang ingin kita tegakkan ini. Apa yang pasti pada hari ini ialah kita memikul tanggungjawab untuk menghidupkan kembali kuasa yang dicitakan ini, kita bangkitkan semula daripada lenanya dan kita akan bangunkan segala asas dan ranting serta cabangnya sekali lagi. Tidak mungkin dalam peringkat awal usaha ini kita dapat membentuk sebuah jamaah yang dapat merangkum seluruh umat Islam, semuanya bernaung di bawah lembayung jamaah ini di mana seluruh umat Islam wajib menyertainya dan mentaatinya, turut sama dalam arenanya; Menolak atau menentang jamaah ini dianggap sebagai menolak Islam dan terkeluar daripada agama Allah, seperti yang dinyatakan oleh hadis al-sharif tadi.
Wallahu a’lam.

Oleh : Syeikh Abul Al-A’la al-Maududiyy

Naskhah terjemahan ihsan dari Pustaka Salam, KL (Hakcipta & terjemahan terpelihara)

Wednesday, August 17, 2011

Kalau Nak Memilih Suami - karya Ummi :D

Kalau nak memilih suami,
jangan pilih yang baik sahaja
kerana yg baik dan bersopan santun
belum tentu hatinya pada Allah
kadangkala yang baik itu
asyik terlupa mendirikan solat yang lima
yang baik itu
kadangkala tidak mengenali kesyumulan Islam
tidak mengenal kalamullah


Kalau nak memilih suami
jangan hanya memilih yang solat lima waktu sahaja
kerana sehabis solatnya, hanya lepak di hadapan tv
dakwahnya hanya di dalam rumah
setiap kali di ajak ke majlis ilmu
anak isteri akan dijadi alasan


"minta maaf, saya kena hantar isteri"
"minta maaf, saya nak ambil anak balik tusyen"
"minta maaf, saya nak balik kampung isteri"
beribu alasan akan direka cipta
lelaki ini tidak mengenal perjuangan Islam


Kalau nak memilih suami
pilihlah yang baik budi perkertinya
yang menjaga batas syariat
menjaga batas iktilafnya
kelak tidak menyakiti hati kamu
dengan perbuatannya


Kalau nak memilih suami
pilihlah yang solat lima waktu
berjemaah di rumah Allah
kalamullah sebagai zikirnya
Al-Ouran pendoman hidupnya
pilihlah lelaki yang ...
hatinya telah intima' dijalan Allah
kelak ia menjadi lelaki yang
kamu kagumi dunia akhirat
kelak anak-anakmu
akan menjadi pewaris anbia'
keturunanmu berada di jalan Allah


Pilihlah lelaki
yang baik budi pekertinya
yang solat lima waktunya di rumah Allah
yang hatinya intima' di jalan Allah
Al-Quran pendoman hidupnya
moga perkahwinanmu kelak beroleh barakah


**(semoga suamiku diberi kekuatan oleh Allah)


Ummi - 16 Julai 2011


http://medantengku.blogspot.com/2011/07/kalau-nak-memilih-suami.html


Monday, August 15, 2011

alhamdulillah hidayah buat adik2 yang penat mencari :)



"Adik nak ucap terima kasih banyak2.. Kalau akak nak tahu, akak org pertama yg tegur adik dulu.. time 2 adik baru add org2 yang lebih pada agama.. lepas 2 akak masukkan adik dalam group usrah kt fb.. start dari situ adik kenal dunia Islam yg sebenar..heppy sangat! dah macam2 dunia yg adik pergi tapi dunia sekarang la yg buat adik rasa tenang sgt.. :)" ukhti A

"Mulai sekarang EVERYTHING ana lakukan, ana dh malas nk dengar kutukan manusia lagi & x hirau lagi kutukan manusia melainkan yg membawa kebenaran. And fokus utama ana skrng ialah EVERYTHING ana lakukan krn ALLAH!! semua krnNYA & ana lebih fikir apa yg DIA lihat brbanding apa yg manusia lihat! :)" ukhti B


Monday, August 8, 2011

Asal Usul Tarawih

Sayyid Ali Fikri dalam bukunya “Khulashatul Kalam fi Arkanil Islam” halaman 114 menuturkan tentang salat tarawih sebagai berikut:

Orang yang pertama kali mengumpulkan orang-orang muslim untuk melakukan salat tarawih secara berjamaah dengan hitungan 20 rakaat adalah Khalifah Umar bin Khattab ra. dan disetujui oleh para sahabat Nabi pada waktu itu. Kegiatan tersebut berlangsung pada masa pemerintahan Khalifah Usman dan Khalifah Ali bin Abi Thalib ra. Kegiatan salat tarawih secara berjamaah seperti ini terkait sabda Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam:

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ

“Wajib atas kamu sekalian mengikuti sunnahku dan sunnah dari al-Khulafaur Rasyidin”.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra. bahkan menambah jumlah rakaatnya menjadi 36 (tiga puluh enam) rakaat. Tambahan ini beliau maksudkan untuk menyamakan dengan keutamaan dan pahala penduduk Makkah yang setiap kali selesai melakukan salat empat rakaat, mereka melakukan thawaf. Jadi Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra. melakukan salat empat rakaat sebagai ganti dari satu kali thawaf agar dapat memperoleh pahala dan ganjaran berimbang.

Berdasarkan sunnah dari Khalifah Umar bin Khattab tersebut, maka :

1. Menurut madzhab Hanafi, Syafii dan Hambali, jumlah salat tarawih adalah 20 rakaat selain salat witir.
2. Menurut madzhab Maliki, jumlah salat tarawih adalah 36 (tigapuluh enam) rakaat, karena mengikuti sunnah dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Adapun orang yang melakukan salat tarawih 8 (delapan) rakaat dengan witir 3 (tiga) rakaat, adalah mengikuti hadits yang diriwayatkan dari Sayyidah Aisyah yang berbunyi sebagai berikut:

َما كَانَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَزِيْدُ فِى رَمَضَــــانَ وَلاَ فِى غَــيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشَرَةَ رََكْعَةً ، يُصَلِّى اَرْبَعًا فَلاَ تَسْـاَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُوْلِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّى اَرْبَعًا فَلاَ تَسْــاَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَ طُوْلِهِنَّ ثُمَّ يُصَــلِّى ثَلاَثًا ، فَقُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ اَنْ تُوْتِرَ ؟ فَقَالَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامُ وَلاَ يَـــــنَامُ قَلْبِى . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

“Tiadalah Rasulullah saw. menambah pada bulan Ramadlan dan tidak pula pada bulan lainnya atas sebelas rakaat. Beliau salat empat rakaat dan jangan Anda bertanya tentang kebagusan dan panjangnya. Kemudian beliau salat empat rakaat dan jangan Anda bertanya tentang kebagusan dan panjangnya. Kemudian beliau salat tiga rakaat. Kemudian aku (Aisyah) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah Tuan tidur sebelum salat witir?” Beliau bersabda, “Wahai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tidur, sedang hatiku tidak tidur.”

Syekh Muhammad bin ‘Allan dalam kitab “Dalilul Falihin” jilid III halaman 659 menerangkan bahwa hadits di atas adalah hadits tentang salat witir, karena salat witir itu paling banyak hanya sebelas rakaat, tidak boleh lebih. Hal itu terlihat dari ucapan Aisyah bahwa Nabi saw. tidak menambah salat, baik pada bulan Ramadlan atau lainnya melebihi sebelas rakaat. Sedangkan salat tarawih atau “qiyamu Ramadlan” hanya ada pada bulan Ramadlan saja.

Ucapan Aisyah “beliau salat empat rakaat dan Anda jangan bertanya tentang kebagusan dan panjangnya”, tidaklah berarti bahwa beliau melakukan salat empat rakaat dengan satu kali salam. Sebab dalam hadits yang disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra. Nabi bersabda:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى ، فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَاَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ .

“Salat malam itu (dilakukan) dua rakaat dua rakaat, dan jika kamu khawatir akan subuh, salatlah witir satu rakaat”.

Dalam hadits lain yang disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar juga berkata :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى مِنَ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى وَ يُوْتِرُ بِرَكْعَةٍ .

“Adalah Nabi saw. melakukan salat dari waktu malam dua rakaat dua rakaat, dan melakukan witir dengan satu rakaat”.

Pada masa Rasulullah saw. dan masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Shiddiq, salat tarawih dilaksanakan pada waktu tengah malam, namanya bukan salat tarawih, melainkan “qiyamu Ramadlan” (salat pada malam bulan Ramadlan). Nama “tarawih” diambil dari arti “istirahat” yang dilakukan setelah melakukan salat empat rakaat. Disamping itu perlu diketahui, bahwa pelaksanaan salat tarawih di Masjid al-Haram, Makkah adalah 20 rakaat dengan dua rakaat satu salam.

Almarhum K.H. Ali Ma’sum Krapyak, Yogyakarta dalam bukunya berjudul “Hujjatu Ahlis Sunnah Wal Jamaah” halaman 24 dan 40 menerangkan tentang “Salat Tarawih” yang artinya kurang lebih sebagai berikut:

* Salat tarawih, meskipun dalam hal ini terdapat perbedaan, sepatutnya tidak boleh ada saling mengingkari terhadap kepentingannya. Salat tarawih menurut kami, orang-orang yang bermadzhab Syafii, bahkan dalam madzhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah 20 rakaat. Salat tarawih hukumnya adalah sunnah muakkad bagi setiap laki-laki dan wanita, menurut madzhab Hanafi, Syafii, Hambali, dan Maliki.
* Menurut madzhab Syafii dan Hambali, salat tarawih disunnahkan untuk dilakukan secara berjamaah. Madzhab Maliki berpendapat bahwa berjamaah dalam salat tarawih hukumnya mandub (derajatnya di bawah sunnah), sedang madzhab Hanafi berpendapat bahwa berjamaah dalam salat tarawih hukumnya sunnah kifayah bagi penduduk kampung. Dengan demikian apabila ada sebagian dari penduduk kampung tersebut telah melaksanakan dengan berjamaah, maka lainnya gugur dari tuntutan.
* Para imam madzhab telah menetapkan kesunnahan salat tarawih berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad shallallahu alaihi wa sallam Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadits sebagai berikut:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ فِى جَوْفِ اللَّيْلِ لَيَالِيَ مِنْ رَمَضَانَ وَهِيَ ثَلاَثٌ مُتَفَرِّقَةٌ لَيْلَةُ الثَّالِثِ وَالْخَامِسِ وَالسّابِعِ وَالْعِشْرِيْنَ وَصَلَّى فِى الْمَسْجِدِ وَصَلَّى النَّاسُ بِصَلاَتِهِ فِيْهَا ، وَكَانَ يُصَلِّى بِهِمْ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ أَيْ بِأَرْبَعِ تَسْلِيْمَاتٍ كَمَا سَيَأْتِى وَيُكَمِّلُوْنَ بَاقِيَهَا فِى بُيُوْتِــــهِمْ أَيْ حَتَّى تَتِــــمَّ عِشْرِيْنَ رَكْعَةً لِمَا يَأْتِى ، فَكَانَ يُسْمَعُ لَهُمْ أَزِيْزٌ كَأَزِيْزِ النَّحْلِ .

“Nabi shallallahu alaihi wa sallam keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadlan, yaitu pada tiga malam yang terpisah: malam tanggal 23, 25, dan 27. Beliau salat di masjid dan orang-orang salat seperti salat beliau di masjid. Beliau salat dengan mereka delapan rakaat, artinya dengan empat kali salam sebagaimana keterangan mendatang, dan mereka menyempurnakan salat tersebut di rumah-rumah mereka, artinya sehingga salat tersebut sempurna 20 rakaat menurut keterangan mendatang. Dari mereka itu terdengar suara seperti suara lebah”.

Dari hadits ini jelaslah bahwa Nabi Muhammad shallallahu alaihi wa sallam telah mensunnahkan salat tarawih dan berjamaah. Akan tetapi beliau tidak melakukan salat dengan para sahabat sebanyak 20 rakaat sebagaimana amalan yang berlaku sejak zaman sahabat dan orang-orang sesudah mereka sampai sekarang.

Telah diriwayatkan dari Sayyidah Aisyah ra. bahwa Nabi Muhammad saw. keluar sesudah tengah malam pada bulan Ramadlan dan beliau melakukan salat di masjid. Para sahabat lalu melakukan salat dengan beliau. Pada pagi harinya para sahabat memperbincangkan salat mereka dengan Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam, sehingga pada malam kedua orang bertambah banyak. Kemudian Nabi saw. melakukan salat dan orang-orang melakukan salat dengan beliau. Pada malam ketiga tatkala orang-orang bertambah banyak sehingga masjid tidak mampu menampung para jamaah, Rasulullah saw. tidak keluar untuk jamaah, hingga beliau keluar untuk melakukan salat subuh. Setelah salat subuh, beliau menemui para jamaah dan bersabda, “Sesungguhnya tidaklah dikhawatirkan atas kepentingan kalian tadi malam; akan tetapi aku takut apabila salat malam itu diwajibkan atas kamu sekalian, sehingga kalian tidak mampu melaksanakannya!”.

Setelah Rasulullah saw wafat keadaan berjalan demikian sampai pada zaman kekhalifahan Abu Bakar dan permulaan kekhalifahan Umar bin Khattab ra. Pada masa Khalifah Umar bin Khattab ra. beliau mengumpulkan orang-orang laki-laki untuk berjamaah salat tarawih dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab dan orang-orang perempuan berjamaah dengan diimami oleh Usman bin Khatsamah. Oleh karena itu Khalifah Usman bin Affan berkata pada masa pemerintahan beliau, “Semoga Allah menerangi kubur Umar sebagaimana Umar telah menerangi masjid-masjid kita”.

Dari hadits Bukhari Muslim di atas menjadi jelas, bahwa jumlah salat tarawih yang mereka lakukan tidak terbatas hanya delapan rakaat, dengan bukti bahwa mereka menyempurnakannya di rumah-rumah mereka. Sedangkan pekerjaan Khalifah Umar ra. telah menjelaskan bahwa jumlah rakaatnya adalah 20, pada saat Umar ra. mengumpulkan orang-orang di masjid dan para sahabat menyetujuinya tak seorangpun dari para Khulafa’ur Rasyidun yang berbeda dengan Umar, sebab mereka tahu bahwa tentulah Umar menetapkan dua puluh rakaat ini diambil dari apa yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam. Mereka terus menerus melakukan salat tarawih secara berjamaah sebanyak 20 rakaat. Makanya Nabi Muhammad shallallahu alaihi wa sallam telah bersabda:

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَآءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ. رَوَاهُ أَبُوْدَاوُدَ

“Wajib atas kamu sekalian mengikuti sunnahku dan sunnah dari al-Khulafa ar-Rasyidun yang telah mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah-sunnah tersebut dengan gigi geraham (berpegang teguhlah kamu sekalian pada sunnah-sunnah tersebut). HR Abu Dawud

Sebab Nabi shallallahu alaihi wa sallam paham betul bahwa sahabatlah orang yang paling tahu tentangnya dan paling mengikutinya.

Nabi Muhammad saw. juga bersabda sebagai berikut:

اِقْتَدُوْا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِى أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ . رَوَاهُ أَحْمَدُ وَأَبُوْ دَاوُدَ وَابْنُ مَاجَهْ

“Ikutlah kamu sekalian dengan kedua orang ini sesudah aku mangkat, yaitu Abu Bakar dan Umar”. HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah.

Imam Abu Hanifah telah ditanya tentang apa yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Khattab ra. Beliau menjelaskan, “Salat tarawih adalah sunnah muakkadah. Umar ra. tidak menentukan bilangan 20 rakaat tersebut dari kehendaknya sendiri. Dalam hal ini beliau bukanlah orang yang berbuat bid’ah. Beliau tidak memerintahkan salat 20 rakaat, kecuali berasal dari sumber pokoknya yaitu dari Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam.”

أَصْحَابِى كَالنُّجُوْمِ بِأَيِّهِمُ اقْتَدَيْتُمْ اِهْتَدَيْتُمْ.

“Para sahabatku adalah bagaikan bintang-bintang di langit. Dengan siapa saja dari mereka kamu ikuti, maka kamu akan mendapatkan petunjuk”.

Memang, pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ra. yang pada waktu itu beliau mengikuti orang Madinah, bilangan salat tarawih ditambah dan dijadikan 36 rakaat. Akan tetapi tambahan tersebut dimaksudkan untuk menyamakan keutamaan dengan penduduk Makkah; karena penduduk Makkah melakukan thawaf di Baitullah satu kali sesudah salat empat rakaat dengan dua kali salam. Maka Umar bin Abdul Aziz ra. yang pada waktu itu mengimami para jamaah berpendapat untuk melakukan salat empat rakaat dengan dua kali salam sebagai ganti dari thawaf.

Ini adalah dalil dari kebenaran ijtihad dari para ulama dalam menambahi ibadah yang telah disyariatkan. Sama sekali tidak perlu diragukan bahwa setiap orang diperbolehkan untuk melakukan salat sunnah semampu mungkin pada waktu malam atau siang hari, kecuali pada waktu-waktu yang dilarang untuk melakukan salat.

Wallahu a’lam

Disarikan dari makalah Drs. K.H. Achmad Masduqi Machfudh

http://pesantren.or.id.42303.masterweb.net/ppssnh.malang/cgi-bin/content.cgi/artikel/shalat_tarawih.single
http://agama.kompasiana.com/2010/08/11/walaupun-tak-pasti-tapi-kemungkinan-besar-nabi-shallallahu-alaihi-wa-sallam-shalat-tarawehnya-20-rakaat/

Popular Posts