Thursday, January 6, 2011

Insaf ekspress



Pernahkah anda pergi ke suatu majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah perdana, kem mantapan diri dan lain-lain lagi di mana anda merasakan diri anda benar-benar di’brainwash’ sehingga anda menitis air mata menandakan penyesalan melalui jalan hidup penuh kemaksiatan? Tamat sahaja kem tersebut, anda berasa sangat insaf dan berkeinginan untuk memulakan hidup yang baru. Tetapi tidak sampai sebulan kemudian, anda kembali bergelumang dengan maksiat. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini?

Atau…

Anda sedang dilanda pelbagai masalah. Sudahlah pelajaran merosot, anda pula dibuang kekasih yang disayangi. Anda berusaha menyelamatkan hubungan tersebut, tetapi menghadapi kegagalan yang teruk. Anda benar-benar tertekan, tidak punya penyelesaian. Tiba-tiba anda terdetik membuka laman webiluvislam.com, terbaca satu artikel menginsafkan menyedari betapa silapnya hubungan cinta sebelum nikah. Sejurus selepas itu, anda terus insaf dan mula mendekati cinta Allah dan RasulNya. Namun, cinta hakiki tersebut tak bertahan lama, anda akhirnya akur menerima kehadiran sekali lagi cinta yang tiada kepastian. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini pula?

---------------------------------------------------------------

Apakah persamaan antara kedua-dua situasi di atas? Ya, walaupun tampak melalui jalan yang berbeza, tetapi kedua-dua situasi melalui tempoh penginsafan, namun amat malang sekali ianya tidak bertahan lama, yang kita panggil di sini; INSAF EKSPRESS. Apakah yang menyebabkan kita melalui insaf sekejap ini? Cubalah kita muhasabah sebentar. Di sini kita cuba senaraikan segala sebab musabab yang menyebabkan diri anda tewas, menggadaikan keinsafan diri.

Tarikan rakan?

Apabila anda berubah dan berkeinginan untuk terus dengan watak yang berubah tersebut, tetapi anda kena ingat rakan-rakan anda masih lagi seseorang watak yang lama. Anda sudah ingin mula mendekati masjid tetapi dalam masa yang sama rakan-rakan baik anda menonton wayang. Apakah yang paling kuat mempengaruh anda? Rakan baik anda mengajak anda menemani dia lepak bersama-sama rakan dia yang lain walaupun hari sudah lewat malam, tambah-tambah lagi bercampuran lelaki perempuan. Sanggupkah anda melukakan hati rakan baik anda?

Keadaan sekeliling?

Anda berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lama lagi, tetapi keadaan sekeliling benar-benar menduga anda. Ramai lelaki bertekad untuk menjauhi menonton video lucah, tetapi apakan daya di luar sana sahaja sudah cukup tahap lucahnya. Siapakah yang kerap menghiasi segenap ruang televisyen di rumah kita melainkan artis-artis yang ghairah mendedah diri? Setiap kali berjalan di luar sana pula, terpandang muslimah bertudung pendek mendedah perhiasan tersembunyi miliknya. Tambah lagi, sewaktu melayari facebook, lambakan gambar-gambar muslimah menjaja diri tak dapat dielakkan untuk dipertontonkan. Bagaimanakah lelaki yang ramai ini mahu mengekalkan rentak keinsafannya selagi keadaan sekelilinginya sebegini?

Rasa terkongkong?

Mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya memerlukan anda melupakan segala keseronokan melampaui batas dulu. Jika dulu anda boleh bergaul rapat antara rakan bukan sejantina secara terbuka, tetapi kini anda terpaksa mengehadkan pergerakan. Terasa leceh bukan? Semasa zionis menyerang umat palestin di sana, anda mendapat kesedaran untuk memboikot barang keluaran milik zionis di sini. Tetapi setelah habis musim zionis menyerang, anda pun habis musim memboikot bukan? Mengapa ini berlaku? Adakah anda mula berasa diri anda rimas kerana banyak batasan yang perlu dipatuhi sehingga tak dapat hidup melainkan memenuhi kepuasan anda?

Perasaan terasing?

Anda merasakan kehidupan baru yang penuh ‘keinsafan’ ini tidak dapat memenuhi kepuasan anda. Ramai perempuan tewas dalam menjaga maruah diri disebabkan merasakan diri mereka terasing sangat. Rakan anda mengenakan pakaian berfesyen menarik perhatian ramai, sedangkan anda mengenakan pakaian membungkus diri tiada siapa peduli. Malah dipandang serong pula. Siapakah yang dapat bertahan bukan?

Bantuan teknologi?

Seberapa gigih anda berusaha bertahan dengan istiqamah perubahan tersebut, memang tidak akan kekal lama jika anda masih tak dapat mengawal segala teknologi yang mencorak kehidupan anda. Jika dulu, lelaki yang hendak melepaskan gian mencuci mata perlu menyusuri kelab-kelab malam bertebaran di bandar, tetapi kini Internet ada sahaja di depan mata, tak perlu membuang masa, dengan satu klik terpampang segala hidangan yang diingini. Adakah teknologi bertindak sebagai pemudah dalam melakukan dosa? Ketika zaman nenek moyang kita, mereka yang hendak berdating perlu menyusuri berbatu-batu jauhnya kampung, tetapi kini dating sahaja di yahoo messenger! Luahkan segala bagai perasaan cinta yang terpendam. Adakah peluang melakukan dosa lebih tinggi sejak kehadiran teknologi yang semakin berkembang ini?

---------------------------------------------------------------

Kita sebenarnya memang sengaja tidak mahu menghurai lanjut jawapan untuk setiap persoalan-persoalan yang diberikan. Fikir-fikirkanlah kerelevanan kata-kata King ke-6 terakhir, iaitu semenjak kalah dalam perang salib terakhir, dia telah berwasiat sebelum mati, ditulis dengan emas di London:

"..kepada semua pemimpin-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita berperang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita menukar strategi. Kita perlulah melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya ke atas orang Islam."

Sekarang anda patut tahu, mengapakah yahudi tidak gentar membiarkan umat Islam berdakwah melalui teknologi ciptaannya. Kerana mereka tahu, kebanyakan umat islam kini hanya insaf ekspress!

Jadi, sudah tiba masanya anda tentukan apakah sebab musabab anda terhalang untuk terus istiqamah dalam perubahan. Mampukah anda melawan tarikan kawan? Tidak mempedulikan keadaan sekeliling? Mengetepikan perasaan terasing dan rasa terkongkong? Dan tidak membiarkan teknologi memperalatkan anda? Semua jawapan ada ditangan anda. Ayuh, masa untuk istiqamah dalam keinsafan. Tidak perlu insaf ekpress lagi!

http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/12/insaf-ekspress.html

SAYA TIDAK MAMPU!


Mari kita sama-sama berfikir. Adakah kita cukup bersyukur atas segala nikmat yang kita terima?

Dalam salah satu hadis Rasulullah, maksudnya begini,

“Sesiapa di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangan. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman”.


Sudah terang-terang kita disuruh untuk menghalang kemungkaran walau dengan cara apa sekalipun. Tetapi berapa ramai di antara kita yang melaksanakannya? Berapa ramai yang berani untuk tegur kawan-kawan yang bercouple untuk kembali ke jalan yang benar? Siapa yang berani untuk ajak rakan-rakan solat berjemaah daripada berjemaah main game? Siapa yang sanggup untuk cakap kepada kakak yang suara itu pun aurat perempuan, jangan sampai ketawa kuat-kuat? Siapa? Siapa? Tapi sayangnya, tak ada siapa. Tiada siapa pun yang berani untuk buat semua itu. Semua mahu jaga nama sendiri daripada dikecam oleh orang lain. Semua takut dihindar daripada kawan baik sendiri. Semua mahu amalkan pepatah Melayu, ‘jangan jaga tepi kain orang’.

Sering kali kita kira yang kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dengan memilih cara yang ketiga, ‘ubah dengan hati’. Walhal mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka itu sebenarnya merosakkan agama Islam itu sendiri. Pilihan mereka itu yang membuat generasi akan datang tidak nampak keindahan Islam dalam kehidupan mereka. Cuba bayangkan Rasulullah dan para sahabat yang berdakwah di Mekah dahulu duduk bersenang lenang, dan semuanya memilih untuk membenci kemungkaran tanpa melakukan apa-apa. Apa akan jadi dengan kita sekarang? Adakah Islam akan tersebar luas dengan cara seperti itu? Adakah itu memang cara yang terbaik untuk berdakwah? Bukan, bukan semudah yang anda fikirkan. Kalau begitulah cara para sahabat dan nabi Muhamad bekerja, saya boleh jamin bahawa agama Islam tidak akan sampai kepada kita.

Mari imbas kembali bagaimana Rasulullah di baling dengan batu apabila baginda berdakwah di Ta’if. Sampai kasut baginda dipenuhi dengan darah. Namun Rasulullah masih bersabar dan menolak tawaran daripada malaikat untuk menterbalikkan gunung-gunung di Ta’if menghempap orang-orang di Ta’if. Sayangnya Rasulullah terhadap umat-umatnya. Atau contoh yang lain, baginda di kepung oleh pembunuh-pembunuh upahan Musyrikin Mekah untuk meghalang baginda daripada berhijrah ke Madinah. Lihat bagaimana Rasulullah terus bersabar untuk tidak memohon kepada Allah supaya para pembunuh upahan itu tidak dimatikan. Walhal baginda diancam bunuh.

Tapi kita dengan sewenang-wenangnya melihat dan sekadar membenci kemungkaran dalam hati tanpa melakukan apa-apa. Kita beralasan dengan alasan ‘saya tidak mampu’ atau ‘dengan cara ini saja yang boleh saya elakkan diri saya daripada terjebak’. Fikirkanlah. Adakah tidak mampu yang kita maksudkan itu tahapnya sampai kita diancam bunuh? Adakah kita akan dibelasah sekiranya mulut kita mengucapkan kata-kata yang ke arah kebaikan? Atau memang sudah ada dalam perlembagaan yang menetapkan untuk memenjara orang yang mengajak kepada yang benar? Tiada bukan? Maka, kita tunggu apa dan siapa lagi? Bergegaslah untuk berlumba-lumba mengamalkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seharian kita.

Maka ingatlah firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 104,

Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat-sifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.[3:104]

http://azzariyat.com/blog/2010/07/01/saya-tidak-mampu/

Tuesday, January 4, 2011

Rayuan Seorang Hamba Pada Pencipta Yang Maha Agung



Ya Allah, di malam yang sepi ini,
Kulihat dosa-dosa,
Mematikan segala hati,
Hinanya diriku, bergelumang dosa-dosa,
Sedangkan meninggalkan dosa-dosa,
Menyegarkan dan menghidupkan segala hati,
Kebaikanlah buat diri jika menentangnya.

Ya Allah,
Berat sungguh ujianmu,
Lalai dengan suruhanmu,
Tidak segan silu melakukan maksiat.

Ya Allah,
Aku tahu, dosa-dosa itu juga tercalit kepada diriku,
Kerana menyaksikan maksiat saudara Islamku.
Oleh itu, Ya Allah,
Engkau berikanlah aku kekuatan untuk membimbing saudaraku,
Andai aku lalai,Engkau berikanlah aku petunjuk ke jalan yang lurus.
Ke jalan yang Engkau redhai
Sesungguhnya aku hamba yang lemah.

Ya Allah,
Engkau sinarilah hati-hati kami dengan cahaya keimananmu,
Engkau bantulah kami menegakkan kalimah tauhid di bumi-Mu,
Kami tahu, kami adalah khalifah,
Tanggunggjawab seorang khalifah adalah tersangat berat,
Tapi kami pernah berjanji,
Gunung dan ganang tidak sanggup menerima amanah ini.
Tetapi kami manusia menawarkan diri untuk memikulnya.
Tetapi Engkau lihatlah, ya Allah,
Manusia kian lalai,
Banyak dosa dan maksiat tercalit dalam diri.
Oleh itu, ya Allah,
Bimbinglah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau redhai.

Ya Allah,
Engkau perintahkan aku untuk berdoa dan Engkaulah yang mengabulkannya,
Sesungguhnya Engkau tidak mengingkari janji dan tidak membatalkannya.

Ya Allah,
Kebaikan yang Engkau suka jadikanlah ia kesukaan kami,
Dan rendahkanlah dia untuk kami,
Dan semua kejahatan yang Engkau benci, maka jadikanlah ia kebencian kami,
Dan jauhlah kami darinya.

Ya Allah,
Hamba memohon kebaikan sebagai yang diminta oleh nabi-Mu.

Ya Allah,
Kami telah menganiaya diri kami
Maka jika Engkau tidak mengampuni kami
Maka kami termasuk dalam orang-orang yang rugi.
Oleh itu ya Allah,
Ampunilah kami, rahmatilah kami.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad, keluarga baginda serta para sahabat.
Amin Ya Rabbul'alamin.

(sumber dari petikan novel 'Melakar Cinta Firdausi' karya Nurul Aini K. Azhari & Aimi Nabihah Mohamad/muka surat 36-39)

Wednesday, December 22, 2010

5 Syarat Ibrahim Adham jika mahu buat maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.



Popular Posts