Monday, January 24, 2011

MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA




Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?


Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.


Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?



Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)


Janji Yang Pasti

Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.


Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Permohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.

Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).


Pelbagai Kurnia

Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.


Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya“Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut”–lalu beliau membaca ayat di atas.


Mengelakkan Bala

Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).

Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.


Ditambah Kekuatan

Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).

Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.

Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.


Sumber artikel :

http://drmaza.com/home/?p=1335

Saturday, January 22, 2011

Surat untuk berkahwin muda...



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Kepada ayah yang ku kasihi dan bonda yang ku cintai…

Apa khabar dengan keluarga di Labuan? Semoga hendaknya dalam keadaan sihat dan mendapat rahmat ALLAH sentiasa.

Ajib pun tak berapa jelas mengapa ajib nak tulis surat ni kepada mak dan ayah. Rasanya sepanjang hidup ni, jarang benar ajib tulis surat untuk mak dan ayah. Selalunya kalau ada apa-apa pun, ajib selalu telefon saja berbanding untuk menulis surat. Tapi adakalanya juga, ada sesetengah perkara yang ajib tak boleh nak cakap melalui telefon dan lebih suka untuk membincangkannya dalam bentuk surat.

Dipendekkan cerita, ajib sebenarnya untuk meminta redha dari mak dan ayah untuk bernikah. Mungkin mak dan ayah terkejut apabila ajib cakap macam nie. Ajib bercadang untuk bernikah dalam tempoh kurang dari satu tahun dari sekarang. Ajib nak nikah nie bukan kerana nafsu semata-mata tapi hanya ingin menyempurnakan sebahagian dari agama. Selain itu, dengan nikah, ajib akan lebih terpelihara daripada melakukan sebarang maksiat kepada ALLAH.

Kadang-kala, ajib rasa hairan, masyarakat sekarang lebih suka anak-anak mereka ada boyfriend dan girlfriend. Kemudian dibenarkan pula berjalan berdua-duaan tanpa mahram perempuan tersebut. Perkara ini haram di sisi Islam. Sedangkan Islam telah memberikan satu jalan keluar yang baik dalam masalah ini iaitu dengan nikah.

Ajib bukan terburu-buru untuk bernikah, tapi ajib nak mak dan ayah boleh faham konsep nikah yang sebenarnya di dalam Islam. Islam menganjurkan nikah adalah untuk mengurangkan berlakunya maksiat di dalam masyarakat seperti zina. ALLAH SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina…” (Surah al-Isra 17: 32)

Zina takkan terjadi di antara lelaki dan perempuan dengan serta-merta. Zina akan berlaku melalui beberapa step (langkah) yang menghampiri kepada zina sebagai contoh berjalan berduaan lelaki dan perempuan tanpa mahram (boyfriend dan girlfriend). Walaupun bertunang, Islam tidak membenarkan pasangan tunang tersebut untuk berdua-duaan tanpa mahramnya. Tunang bukan tiket untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Ini hanya tradisi yang terdapat dalam masyarakat melayu. Islam menyuruh orang muslim untuk bernikah untuk menghalalkan hubungan tersebut.

Mengikut kajian yang dilakukan di sebuah universiti tempatan, 80% mahasiswa yang cemerlang adalah terdiri dari mereka yang telah berkahwin. Ini kerana pasangan yang telah berkahwin, merasakan mereka ada tanggungjawab yang harus mereka pikul, dan akhirnya mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan. Jadi, orang yang bagi alasan bahawa menikah sewaktu belajar akan mengganggu study adalah tidak tepat.

Di universiti ajib, ramai pelajar yang ‘bercouple’ dan mereka boleh belajar seperti biasa. Tapi, apa yang mereka buat tu adalah maksiat. Kan elok, kalau ibubapa mereka membenarkan mereka bernikah dan mereka pun boleh belajar seperti biasa. Yang ini adalah yang disuruh dalam Islam. Jadi apa perbezaannya? Yang satu, belajar tapi diiringi dengan maksiat (macam mana nak berkat ilmu yang belajar) dan yang satu lagi belajar dan telah pun menunaikan salah satu sunnah Rasul SAW. Sekarang pilihan di tangan kita, samada nak kepada benda baik atau buruk.

Mengenai calon, ajib takde lagi. Tapi, InsyaALLAH kalau mak dan ayah bagi ajib green light, masalah calon, mak dan ayah jgn risau (bagi tempoh 6-8 bulan), yang penting mak dan ayah bersedia. Ajib lebih suka calon tu ajib yang pilih sendiri. Tapi tak bermakna mak dan ayah tak boleh memilih calon yang sesuai untuk ajib.

Mak dan ayah mungkin akan bertanya bagaimana pulak ajib akan memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri yang ajib nikahi nanti. Seperti yang ajib katakan awal-awal tadi, ajib nak nikah bukan kerana nafsu semata-mata. Dalam tempoh ajib belajar, dan kemungkinan juga perempuan tu juga sedang menuntut di unversiti, maka ajib akan buat syarat yang dipersetujui bersama untuk menangguhkan dahulu nafkah batin untuk tempoh tertentu.

Dalam sirah Rasulullah SAW, Rasul bernikah dengan dengan Saiditina Aisyah ketika Aisyah berumur 9 tahun dan berumah tangga dengannya pada umur Aisyah mencecah 12 tahun. Ini bermakna Rasulullah menunaikan nafkah batin untuk Aisyah ketika mana Aisyah berumur 12 tahun, iaitu 3 tahun selepas menikah. Kalau dalam istilah kita dipanggil ‘nikah gantung’. Tak kisah lah apa pun namanya yang penting Rasulullah telah mencontohkan perkara seperti itu. Tapi selepas menikah, maka hubungan lelaki dan perempuan yang dulunya terbatas kini telah tiada. Kalau ajib telefon dia, ajib dapat pahala, ajib rindu kat dia, ajib dapat pahala, ajib bagi hadiah kat dia, ajib dapat pahala malahan kalau ajib keluar berdua-duaan dengannya adalah halal. Kan ini lebih baik dari mereka yang ber ‘couple’. Kalau pasangan yang belum menikah, mereka telefon sesama sendiri, dipanggil zina mulut dan telinga (dosa), rasa rindu di hati dipanggil zina hati (dosa), keluar berdua-duaan lagi, tambah lagi satu dosa. Jadi, ajib nak tanya pada mak dan ayah, adakah mak dan ayah sanggup untuk membiarkan anaknya untuk bergelumang dengan dosa atau mengikut Sunnah Rasul yang tercinta iaitu nikah. Sekarang pilihan di tangan kita…

Berkenaan nafkah zahir pula, memandangkan ajib masih belajar dan mungkin juga dia masih belajar, maka ana akan berbincang dengannya untuk mempertimbangkan perkara ini. Nafkah zahir wajib ajib bagi sebagai suami walaupun dalam jumlah sedikit. Sebagai contoh, kalau nanti dia setuju untuk menerima RM 50 sebulan, maka ajib akan bagi dia sesuai dengan kehendaknya. Lagipun, untuk sementara waktu ini, biarlah mak dan ayahnya menanggung makan, minum dan pakaiannya walaupun sebenarnya ini tugas seorang suami. Tapi tak salah kalau ibu bapa sanggup untuk menyara kehidupannya sementara menunggu waktu apabila sudah bersedia berumah tangga. (minta dibezakan antara erti nikah dan berumah tangga). Macam sekarang ni lah, kalau nenek bagi mak baju sebagai hadiah, takkan mak tak terima dan bagi alasan kewajipan beri pakaian ini hanya terletak pada suami. Mak akan terima juga. Kalau nenek menjamu mak dengan makanan, mak jangan tak makan kerana dengan alasan yang patut menanggung makan minum kita adalah suami. Yang penting, isteri mesti redha dengan apa yang diberi oleh suami. Kalau mak dan ayah masih kurang jelas, mak boleh bertanya kepada ustaz mengenai masalah ini. Mak dan ayah jgn risau, sebelum ajib nak nikah, ajib akan jelaskan hal ini kepada bakal isteri ajib. Kalau dia menyetujuinya, alhamdulillah, kalau tak ajib tangguh dulu. Apa-apa pun, ajib tegaskan sekali lagi, ajib nikah ni bukan kerana nafsu semata-mata, tetapi adalah untuk memelihara seluruh anggota zahir dan batin ini dari terjebak ke lembah dosa.

Ajib tengok semua abang ajib nikah awal dalam umur 22 tahun. Ajib cadang pun gitu juga. Banyak juga kelebihan kahwin awal ni antaranya waktu ajib tua nanti, ajib tak risau sebab waktu tu anak-anak dah besar dan mungkin dah ada kerjaya sendiri. Kalau kahwin lambat, nanti waktu tua (dah pencen), ada anak-anak ajib nanti baru masuk darjah satu, ada yang ambik PMR dan SPM dan perlu banyak duit. Waktu dah pencen, nak harap wang pencen, sikit sangat. Mau tak mau, dah tua-tua kena kerja juga banting tulang nak sara anak-anak yang masih sekolah. Sepatutnya waktu tu, ajal nak dekat sampai, patutnya lebih banyak beribadat kepada ALLAH. (tak bermaksud sekarang tak perlu nak beribadat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Tua pun mati, yang muda pun mati). Ajib juga harap, anak-anak ajib nanti (kalau ada rezeki) akan dapat menerima belai kasih dari datuk dan neneknya sebelum mak dan ayah meninggalkan dunia yang fana ini.

Dan kelebihan yang lebih besar dari itu ialah kita dapat menundukkan pandangan dan nafsu kita dari bermaksiat kepada ALLAH di samping mengikut sunnah Rasul SAW. Dalam umur muda nie, macam-macam dugaan dan cabaran yang menanti. Punca maksiat ada di mana-mana. Ajib tak nak ajib akan terjerumus ke dalam jurang dosa dan lebih-lebih lagi harapan mak dan ayah untuk tidak nak melihat anaknya untuk menderhaka kepada ALLAH dan Rasul.

Ajib sebenarnya dah buat satu risalah mengenai nikah ni tahun lepas dan ajib dah pos ke rumah pada tahun lepas juga. Tapi sampai kat Usu Mol, sebab ajib tak tulis nama mak dan ayah. InsyaALLAH dalam risalah tu ajib ada terangkan tentang konsep perkahwinan di dalam Islam.

Diharap mak dan ayah tak terkejut dengan kehadiran surat ini. Ajib nak mak dan ayah terima surat sebagai satu surat biasa yang tak perlu untuk dijadikan isu keluarga yang besar. Sebab bagi ajib, kalau ajib membicarakan masalah ni, ia adalah satu yang normal sebab ajib pun seorang lelaki yang akhirnya akan bernikah jua. Mungkin saja ajib membicarakan hal nikah ni ketika mana ajib baru berusia 20 tahun (dalam tahun Islam, ajib dah 21 tahun). Tapi ini tak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyetujui pendapat ajib ini. Diharap mak dan ayah dapat membaca surat dengan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ajib tidak memaksa mak ayah untuk menyetujui seratus peratus apa yang ajib katakan ini, tapi jika ada kebenaran dalam hakikat, apa salahnya untuk kita menerimanya dengan hati yang lapang dan fikiran yang terbuka.

Kalau boleh jgn bagitau abg jul dan abg didi, mungkin mereka tak setuju dengan keputusan ajib ini atas beberapa faktor. InsyaALLAH, kalau ada apa-apa nanti, ajib akan maklumkan kepada mereka. Sebenarnya bagi seorang lelaki, dia tak perlu untuk minta izin kalau nak nikah tetapi Islam menyuruh kita tidak membelakangi orang tua dalam kita nak buat keputusan. Sebab redha ALLAH adalah berserta dengan keredhaan mak dan ayah. Berbanding dengan perempuan, mereka harus minta izin, sebab ayahnya harus jadi wali dalam pernikahan nanti.

Akhirul kalam, doakan ajib di sini agar dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat. Kirim salam dengan semua keluarga di Labuan.

Puteramu,

Ajib

sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?page=512

Monday, January 17, 2011

Memilih masa yang sesuai



“JANGAN MENGAMBIL LANGKAH UNTUK BERPASANGAN, JIKA SUDAH PASTI DALAM SETAHUN DUA JANGKA MASA TERDEKAT TIADA KEMUNGKINAN UNTUK ANDA BERKAHWIN”

Hubungan seorang lelaki dan perempuan lazim dihinggapi rasa jemu yang mencabar komitmen kita kepada hubungan itu. Perasaan jemu itu mungkin muncul pada tahun ketiga perhubungan, mungkin juga pada tahun keempat perhungan, malah tahun kelima juga bisa.

Namun pasti ramai dalam kalangan mereka yang berpasangan menafikan pernyataan ini kerana mereka akan memberikan hujah bahawa:

“sungguh saya tidak akan berasa jemu dengan perhubungan itu. Saya pasti. Saya tahu diri saya bagaimana”

“saya sayangkan dia kerana Allah. Saya takkan jemu untuk membimbing dia”

“saya akan berkahwin dengan dia. Saya takkan jemu dengan dia”

“Bagaimana pula boleh jemu? Perasaan sayang itu tidak mengenal jemu.”

Dan pelbagai lagi hujah yang mungkin akan diungkapkan sebagai janji mereka bahawa mereka tidak akan jemu dengan pasangan masing-masing. Hal ini bukan tidak pernah berlaku. Bahkan sentiasa berlaku.

Ramai yang cuba mengamalkan cara ‘COUPLE ISLAMIK’ dalam perhubungan mereka, walaupun mereka tidak mengatakan hubungan mereka sebagai couple tapi mereka mengamalkan apa yang diamalkan oleh orang couple.

“kejut tidur”

“sentiasa berSMS”

“bertukar-tukar tazkirah dan pendapat mengenai isu”

“call sekali sekala”

Mereka akan menggunakan pelbagai cara dan mancari pelbagai topik supaya dapat dibincangankan dengan si Dia. Yelah! Mereka jumpa pasangan itu di laman-laman sebegini yakni laman yang sentiasa membincangan mengenai Islam.

Mereka menentang couple tapi sebenarnya mereka mengamalkan couple walaupun mereka tidak mengakui hubungan mereka sebagai couple.

Apakah ciri-ciri couple?

“sayang kepada berlainan jantina (fitrah)”

“sentiasa terbayang kepadanya”

“sentiasa memikirkan dirinya”

“sentiasa ingin memberitahu semua orang bahawa dia telah dimiliki”

“sentiasa berhubungan dengannya”

“mungkin Call sekali-sekala”

“merajuk dan dipujuk”

“jika teringat akannya tersenyum”

“pasti pernah teringat akan dia di dalam solat”

“pasti teringat jika dia tidak menghubungi dan mengharapkan agar dihubungi”

Aduh! Banyak lagi sebenarnya namun, tak dapat saya senaraikan.

Benar! Anda ingin malamarnya!

Benar! Anda ingin berjumpa ibu bapanya!

Benar! Anda ingin memaknakan hubungan ini!

Tapi pasangan anda melarang kerana faktor keluarga, belajar, ataupun diri sendiri.

Maka bila boleh menghalalkan hubungan itu?

Setahun?

Dua tahun?

Tiga tahun?

Dalam jangka masa yang begitu lama pelbagai dosa ditabung… katanya mahu hubungan yang diredhai Allah.

Mahu mencari keradhaan Allah.

Maka apa yang anda lakukan itu mendapat redhanya kah??

Tepuk dada Tanya Iman!

Aiwa! Anda memang nak cepatkan pernikahan tapi masalah keluarga menentang kerana ingin anak mereka menghabiskan pengajian dahulu.

Jika sudah pasti akan ada halangan yang pasti tidak dapat ditempuhi maka mengapa meletakkan diri dalam situasi ini.

Sudah diberitahu

“JANGAN MENGAMBIL LANGKAH BERPASANGAN, JIKA SUDAH PASTI DALAM SETAHUN DUA JANGKA MASA TERDEKAT INI TIADA KEMUNGKINAN UNTUK ANDA BERKAHWIN!”

Atap Yang Terpelihara


meteorSalah satu karya Harun Yahya tentang keajaiban Al Qur'an dari sisi ilmu pengetahuan. Dalam Al Qur'an, Allah mengarahkan perhatian kita kepada sifat yang sangat menarik tentang langit:

"Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang ada padanya." (Al Qur'an, 21:32)

Sifat langit ini telah dibuktikan oleh penelitian ilmiah abad ke-20.

Atmosfera yang melingkungi bumi berperanan sangat penting bagi berlangsungnya kehidupan. Dengan menghancurkan sejumlah meteor, besar ataupun kecil ketika mereka mendekati bumi, atmosfera mencegah mereka jatuh ke bumi dan membahayakan makhluk hidup.(meteor ini besar saiznya,cuba bayangkan jika seketul batu yang amat besar jatuh menimpa sebuah kawasan sabukperumahan!)

Atmosfera juga menyaring sinar-sinar dari ruang angkasa yang membahayakan kehidupan. Menariknya, atmosfera hanya membenarkan agar ditembus oleh sinar-sinar tak berbahaya dan berguna, - seperti cahaya tampak, sinar ultraungu , dan gelombang radio. Semua sinaran ini sangat diperlukan bagi kehidupan.

Sinar ultraungu, yang hanya sebagiannya menembus atmosfera, sangat penting bagi fotosintesis tanaman dan bagi kelangsungan seluruh makhluk hidup. Sebagian besar sinar ultraungu yang dipancarkan matahari ditahan oleh lapisan ozon atmosfera dan hanya sebagian kecil dan penting saja dari spektrum ultraungu yang mencapai bumi.

Fungsi pelindung dari atmosfera tidak berhenti sampai di sini. Atmosfera juga melindungi bumi dari suhu dingin membeku ruang angkasa, yang mencapai sekitar 270 derajat celcius di bawah kosong.


Dipetik dari Buku Harun Yahya.

Sunday, January 16, 2011

HIKMAH SEBUAH PERTEMUAN :)

"Rindunya pada adik.. hanya pada ILAHI ku kirimkan rasa rindu ini agar DIA selalu merahmatimu dan memelihara uhkwah kita. Indahnye bile merindui adik kerana Ilahi, terasa semakin mendekatiNYA.." ~Kakak :)

Alhamdulillah.. Terima kasih kakak atas ukhwah yang indah ini, moga Allah sentiasa melindungimu.. uhibbuki fillah abadan abada~ (~^____^~)

Thursday, January 6, 2011

Insaf ekspress



Pernahkah anda pergi ke suatu majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah perdana, kem mantapan diri dan lain-lain lagi di mana anda merasakan diri anda benar-benar di’brainwash’ sehingga anda menitis air mata menandakan penyesalan melalui jalan hidup penuh kemaksiatan? Tamat sahaja kem tersebut, anda berasa sangat insaf dan berkeinginan untuk memulakan hidup yang baru. Tetapi tidak sampai sebulan kemudian, anda kembali bergelumang dengan maksiat. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini?

Atau…

Anda sedang dilanda pelbagai masalah. Sudahlah pelajaran merosot, anda pula dibuang kekasih yang disayangi. Anda berusaha menyelamatkan hubungan tersebut, tetapi menghadapi kegagalan yang teruk. Anda benar-benar tertekan, tidak punya penyelesaian. Tiba-tiba anda terdetik membuka laman webiluvislam.com, terbaca satu artikel menginsafkan menyedari betapa silapnya hubungan cinta sebelum nikah. Sejurus selepas itu, anda terus insaf dan mula mendekati cinta Allah dan RasulNya. Namun, cinta hakiki tersebut tak bertahan lama, anda akhirnya akur menerima kehadiran sekali lagi cinta yang tiada kepastian. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini pula?

---------------------------------------------------------------

Apakah persamaan antara kedua-dua situasi di atas? Ya, walaupun tampak melalui jalan yang berbeza, tetapi kedua-dua situasi melalui tempoh penginsafan, namun amat malang sekali ianya tidak bertahan lama, yang kita panggil di sini; INSAF EKSPRESS. Apakah yang menyebabkan kita melalui insaf sekejap ini? Cubalah kita muhasabah sebentar. Di sini kita cuba senaraikan segala sebab musabab yang menyebabkan diri anda tewas, menggadaikan keinsafan diri.

Tarikan rakan?

Apabila anda berubah dan berkeinginan untuk terus dengan watak yang berubah tersebut, tetapi anda kena ingat rakan-rakan anda masih lagi seseorang watak yang lama. Anda sudah ingin mula mendekati masjid tetapi dalam masa yang sama rakan-rakan baik anda menonton wayang. Apakah yang paling kuat mempengaruh anda? Rakan baik anda mengajak anda menemani dia lepak bersama-sama rakan dia yang lain walaupun hari sudah lewat malam, tambah-tambah lagi bercampuran lelaki perempuan. Sanggupkah anda melukakan hati rakan baik anda?

Keadaan sekeliling?

Anda berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lama lagi, tetapi keadaan sekeliling benar-benar menduga anda. Ramai lelaki bertekad untuk menjauhi menonton video lucah, tetapi apakan daya di luar sana sahaja sudah cukup tahap lucahnya. Siapakah yang kerap menghiasi segenap ruang televisyen di rumah kita melainkan artis-artis yang ghairah mendedah diri? Setiap kali berjalan di luar sana pula, terpandang muslimah bertudung pendek mendedah perhiasan tersembunyi miliknya. Tambah lagi, sewaktu melayari facebook, lambakan gambar-gambar muslimah menjaja diri tak dapat dielakkan untuk dipertontonkan. Bagaimanakah lelaki yang ramai ini mahu mengekalkan rentak keinsafannya selagi keadaan sekelilinginya sebegini?

Rasa terkongkong?

Mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya memerlukan anda melupakan segala keseronokan melampaui batas dulu. Jika dulu anda boleh bergaul rapat antara rakan bukan sejantina secara terbuka, tetapi kini anda terpaksa mengehadkan pergerakan. Terasa leceh bukan? Semasa zionis menyerang umat palestin di sana, anda mendapat kesedaran untuk memboikot barang keluaran milik zionis di sini. Tetapi setelah habis musim zionis menyerang, anda pun habis musim memboikot bukan? Mengapa ini berlaku? Adakah anda mula berasa diri anda rimas kerana banyak batasan yang perlu dipatuhi sehingga tak dapat hidup melainkan memenuhi kepuasan anda?

Perasaan terasing?

Anda merasakan kehidupan baru yang penuh ‘keinsafan’ ini tidak dapat memenuhi kepuasan anda. Ramai perempuan tewas dalam menjaga maruah diri disebabkan merasakan diri mereka terasing sangat. Rakan anda mengenakan pakaian berfesyen menarik perhatian ramai, sedangkan anda mengenakan pakaian membungkus diri tiada siapa peduli. Malah dipandang serong pula. Siapakah yang dapat bertahan bukan?

Bantuan teknologi?

Seberapa gigih anda berusaha bertahan dengan istiqamah perubahan tersebut, memang tidak akan kekal lama jika anda masih tak dapat mengawal segala teknologi yang mencorak kehidupan anda. Jika dulu, lelaki yang hendak melepaskan gian mencuci mata perlu menyusuri kelab-kelab malam bertebaran di bandar, tetapi kini Internet ada sahaja di depan mata, tak perlu membuang masa, dengan satu klik terpampang segala hidangan yang diingini. Adakah teknologi bertindak sebagai pemudah dalam melakukan dosa? Ketika zaman nenek moyang kita, mereka yang hendak berdating perlu menyusuri berbatu-batu jauhnya kampung, tetapi kini dating sahaja di yahoo messenger! Luahkan segala bagai perasaan cinta yang terpendam. Adakah peluang melakukan dosa lebih tinggi sejak kehadiran teknologi yang semakin berkembang ini?

---------------------------------------------------------------

Kita sebenarnya memang sengaja tidak mahu menghurai lanjut jawapan untuk setiap persoalan-persoalan yang diberikan. Fikir-fikirkanlah kerelevanan kata-kata King ke-6 terakhir, iaitu semenjak kalah dalam perang salib terakhir, dia telah berwasiat sebelum mati, ditulis dengan emas di London:

"..kepada semua pemimpin-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita berperang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita menukar strategi. Kita perlulah melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya ke atas orang Islam."

Sekarang anda patut tahu, mengapakah yahudi tidak gentar membiarkan umat Islam berdakwah melalui teknologi ciptaannya. Kerana mereka tahu, kebanyakan umat islam kini hanya insaf ekspress!

Jadi, sudah tiba masanya anda tentukan apakah sebab musabab anda terhalang untuk terus istiqamah dalam perubahan. Mampukah anda melawan tarikan kawan? Tidak mempedulikan keadaan sekeliling? Mengetepikan perasaan terasing dan rasa terkongkong? Dan tidak membiarkan teknologi memperalatkan anda? Semua jawapan ada ditangan anda. Ayuh, masa untuk istiqamah dalam keinsafan. Tidak perlu insaf ekpress lagi!

http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/12/insaf-ekspress.html

SAYA TIDAK MAMPU!


Mari kita sama-sama berfikir. Adakah kita cukup bersyukur atas segala nikmat yang kita terima?

Dalam salah satu hadis Rasulullah, maksudnya begini,

“Sesiapa di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangan. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman”.


Sudah terang-terang kita disuruh untuk menghalang kemungkaran walau dengan cara apa sekalipun. Tetapi berapa ramai di antara kita yang melaksanakannya? Berapa ramai yang berani untuk tegur kawan-kawan yang bercouple untuk kembali ke jalan yang benar? Siapa yang berani untuk ajak rakan-rakan solat berjemaah daripada berjemaah main game? Siapa yang sanggup untuk cakap kepada kakak yang suara itu pun aurat perempuan, jangan sampai ketawa kuat-kuat? Siapa? Siapa? Tapi sayangnya, tak ada siapa. Tiada siapa pun yang berani untuk buat semua itu. Semua mahu jaga nama sendiri daripada dikecam oleh orang lain. Semua takut dihindar daripada kawan baik sendiri. Semua mahu amalkan pepatah Melayu, ‘jangan jaga tepi kain orang’.

Sering kali kita kira yang kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dengan memilih cara yang ketiga, ‘ubah dengan hati’. Walhal mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka itu sebenarnya merosakkan agama Islam itu sendiri. Pilihan mereka itu yang membuat generasi akan datang tidak nampak keindahan Islam dalam kehidupan mereka. Cuba bayangkan Rasulullah dan para sahabat yang berdakwah di Mekah dahulu duduk bersenang lenang, dan semuanya memilih untuk membenci kemungkaran tanpa melakukan apa-apa. Apa akan jadi dengan kita sekarang? Adakah Islam akan tersebar luas dengan cara seperti itu? Adakah itu memang cara yang terbaik untuk berdakwah? Bukan, bukan semudah yang anda fikirkan. Kalau begitulah cara para sahabat dan nabi Muhamad bekerja, saya boleh jamin bahawa agama Islam tidak akan sampai kepada kita.

Mari imbas kembali bagaimana Rasulullah di baling dengan batu apabila baginda berdakwah di Ta’if. Sampai kasut baginda dipenuhi dengan darah. Namun Rasulullah masih bersabar dan menolak tawaran daripada malaikat untuk menterbalikkan gunung-gunung di Ta’if menghempap orang-orang di Ta’if. Sayangnya Rasulullah terhadap umat-umatnya. Atau contoh yang lain, baginda di kepung oleh pembunuh-pembunuh upahan Musyrikin Mekah untuk meghalang baginda daripada berhijrah ke Madinah. Lihat bagaimana Rasulullah terus bersabar untuk tidak memohon kepada Allah supaya para pembunuh upahan itu tidak dimatikan. Walhal baginda diancam bunuh.

Tapi kita dengan sewenang-wenangnya melihat dan sekadar membenci kemungkaran dalam hati tanpa melakukan apa-apa. Kita beralasan dengan alasan ‘saya tidak mampu’ atau ‘dengan cara ini saja yang boleh saya elakkan diri saya daripada terjebak’. Fikirkanlah. Adakah tidak mampu yang kita maksudkan itu tahapnya sampai kita diancam bunuh? Adakah kita akan dibelasah sekiranya mulut kita mengucapkan kata-kata yang ke arah kebaikan? Atau memang sudah ada dalam perlembagaan yang menetapkan untuk memenjara orang yang mengajak kepada yang benar? Tiada bukan? Maka, kita tunggu apa dan siapa lagi? Bergegaslah untuk berlumba-lumba mengamalkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seharian kita.

Maka ingatlah firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 104,

Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat-sifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.[3:104]

http://azzariyat.com/blog/2010/07/01/saya-tidak-mampu/

Popular Posts